Berita UtamaDunia

Israel di bawah Naftali Bennet lebih teruk daripada Netanyahu

331 rakyat Palestin dibunuh, 16,000 cedera sejak awal tahun ini

TEL AVIV, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kerajaan haram Israel yang diketuai oleh Perdana Menteri, Naftali Bennett terbukti lebih teruk daripada kerajaan terdahulu, kata jurucakap Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA).

“Rakyat kita menghadapi beberapa siri tindakan kerajaan Israel yang menghancurkan sebarang percubaan untuk menyelamatkan proses damai. 

“Kerajaan pendudukan ketika ini jauh lebih teruk daripada sebelumnya (Benjamin Netanyahu) dengan pembunuhan harian dan jenayah perang,” kata Nabil Abu Rudaineh dalam satu wawancara dengan radio Voice of Palestin.

Beliau memberi amaran bahawa kepimpinan Palestin mempunyai semua cara undang-undang untuk pergi ke forum antarabangsa bagi meminta Israel bertanggungjawab atas jenayahnya yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Beliau menjelaskan bahawa Presiden PA, Mahmoud Abbas telah memaklumkan kepada Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Linda Thomas-Greenfield semasa mesyuarat yang diadakan di Ramallah pada hari Rabu bahawa, sebarang percubaan oleh Israel untuk mengubah status quo di Baitulmaqdis akan membawa kepada ‘kemerosotan keadaan dan melemahkan penyelesaian dua negara.’

“Abbas berkata pada mesyuarat itu bahawa beliau mengharapkan pentadbiran Biden mematuhi komitmen dan janjinya berhubung penyelesaian dua negara, pengembangan penempatan dan pembukaan semula konsulat AS,” kata Abu Rudaineh.

Menurut data PBB, sejak awal tahun ini hingga 31 Oktober, Israel membunuh 331 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 16,000 di Tebing Barat, Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza yang diduduki.

Dalam tempoh yang sama, pihak berkuasa Israel merobohkan 721 bangunan dan memindahkan 962 penduduk Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button