Berita Utama

BERJASA mohon Agong isytihar darurat di Melaka elak PRN

Tubuhkan Majlis Tindakan Negeri jalankan kuasa eksekutif pemerintahan

BANGI, 30 Safar 1443H, Khamis – BERJASA memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengisytihar proklamasi darurat di Melaka bagi membolehkan penangguhan Pilihan Raya Negeri (PRN) sehingga ke tarikh yang sama apabila Dewan Rakyat dibubarkan di peringkat Persekutuan kelak. 

Ketua Penerangan BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, ini bagi memastikan segala rencana pergerakan di seluruh negeri dapat diseragamkan termasuklah aspek prosedur operasi standard (SOP) seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata, pengisytiharan darurat oleh Agong juga amat penting bagi memastikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai objektif yang ditetapkan. 

“Parti BERJASA Malaysia mengikuti rapat perkembangan politik di negeri bersejarah Melaka. Gelora politik di Melaka ini boleh disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap rakyat oleh pemimpin yang tamak kuasa.

“Negara baharu sahaja menarik sedikit nafas kelegaan melihat angka positif kes yang semakin hari semakin menurun dan peratusan vaksinasi dalam kalangan rakyat semakin meningkat. 

“Dalam keadaan negara menghadapi krisis kesihatan dan krisis ekonomi ini adalah amat tidak munasabah untuk melaksanakan PRN yang akan menatijahkan pergerakan luar kawalan dalam negeri dan juga bakal melibatkan pengundi luar,” katanya dalam satu kenyataan.

Bukan itu sahaja, antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kos untuk mengadakan PRN di mana tentunya menelan peruntukan tinggi bagi memastikan pematuhan kepada SOP. 

“Adalah lebih baik wang ini diberikan kepada rakyat yang susah dan memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, BERJASA mencadangkan agar penubuhan sebuah Majlis Tindakan Negeri yang dilantik secara terus oleh Agong untuk menjalankan kuasa eksekutif pemerintahan negeri Melaka. 

Katanya, Majlis Tindakan Negeri ini boleh dilantik dari kalangan 70 peratus golongan profesional dan selebihnya ahli politik daripada semua parti.

“Mereka perlu menjalankan tugas sehingga ke satu tarikh pembubaran Dewan Rakyat seterusnya memasuki Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. 

“Cadangan ini adalah munasabah untuk memastikan keselamatan rakyat secara keseluruhannya dan agenda pemulihan negara pasca COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button