Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Pendidikan masyarakat Orang Asli sentiasa dibela

Program Laluan Khas Kemasukan Pelajar Orang Asli ke UPNM bakal dilaksanakan tahun depan

BERA, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kerajaan sentiasa menekankan pembelaan terhadap masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk dalam aspek pendidikan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara inisiatif yang dilaksanakan untuk kemajuan pendidikan mereka ialah Program Laluan Khas Kemasukan Pelajar Orang Asli ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang bakal dilaksanakan tahun depan.

“Ruang dan peluang sebegini dapat membuka peluang lebih cerah kepada anak Orang Asli untuk melanjutkan pelajaran, dan kita yakin dapat menyaksikan lebih ramai anak Orang Asli berjaya sebagai profesional daripada UPNM.

“Atas paksi falsafah Keluarga Malaysia juga, keberkesanan dan keterangkuman masyarakat Orang Asli menjadi agenda penting agar mereka dapat bersama-sama memikul tanggungjawab membangunkan negara menerusi perkongsian semangat satu tanah air tercinta,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian semasa berucap dalam majlis tinjauan mesra sempena Program Khidmat Komuniti Bersama UPNM dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Sekolah Kebangsaan Bukit Rok di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Mah Hang Soon, Ketua Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor dan Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah.

Perdana menteri berkata bantuan pendidikan, yang dihentikan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, telah disambung semula dengan peruntukan tambahan untuk membantu pendidikan anak Orang Asli.

“Kita juga mempermudahkan pembelajaran anak Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dengan menyediakan kemudahan asrama… dahulu kita ada sekolah K9 (Sekolah Model Khas Komprehensif) namun, peluang itu ditambah dengan sekolah K11 (Sekolah Model Khas Komprehensif 11).

“Kita mahu melihat lebih ramai anak Orang Asli belajar sehingga ke peringkat luar negara, bukan hanya mempunyai ijazah sarjana namun sehingga dapat mengenggam ijazah doktor falsafah (PhD),” kata beliau.

Ismail Sabri berkata pembelaan untuk Orang Asli juga dapat dilihat menerusi peruntukan bagi golongan tersebut dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button