Berita Utama

Pengundi positif COVID-19, saluran undi di Alor Gajah ditutup sementara

Proses disinfeksi dijalan dengan kerjasama bomba dan pasukan pemantauan PKD

MELAKA, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Satu saluran mengundi di sebuah pusat pengundian di daerah Alor Gajah di sini ditutup sementara kira-kira jam 2.30 petang tadi, ekoran kejadian seorang pengundi disahkan positif COVID-19, ketika mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Kesihatan Melaka Dr Rusdi Abd Rahman berkata, pihak Jabatan Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah menerima notifikasi daripada COVID-19 Assessement Centre (CAC) Melekek, selepas keputusan ujian saringan COVID-19 pesakit berkenaan yang tidak menunjukkan sebarang gejala diterima setelah beliau selesai mengundi.

Menurutnya pihaknya kemudiannya mengarahkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi terlibat, menutup sementara kawasan berisiko termasuk saluran mengundi bagi proses disinfeksi menyeluruh.

“Proses disinfeksi telah dijalankan dengan kerjasama pihak bomba dan pasukan pemantauan PKD Alor Gajah juga telah diarahkan ke pusat mengundi terlibat untuk memastikan kawalan infeksi dijalankan secara teratur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata SPR juga telah mengambil langkah segera membuka bilik baharu kira-kira jam 3 petang bagi menggantikan saluran mengundi berkenaan dan menggunakan peralatan baharu.

“Jabatan Kesihatan Melaka memandang serius kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan dengan terperinci dan semua kontak rapat dan sosial sedang disiasat petugas Bilik Gerakan PKD Alor Gajah.

“Orang ramai juga diminta mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara tersebut dengan menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2345999 atau melalui e-mel [email protected]. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button