Berita Utama

PRN Melaka: Pandemik, protes mungkin punca jumlah keluar mengundi rendah

Aktiviti kempen terhad dengan SOP pengaruhi suasana pilihan raya negeri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Kebimbangan terhadap wabak pandemik COVID-19 dan sikap protes segelintir pengundi berkemungkinan menjadi antara faktor jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menurun berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 

Malah, tidak mustahil situasi norma baharu dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat sepanjang tempoh berkempen juga mempengaruhi suasana PRN di negeri berkenaan, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Amini Amir.

Beliau berkata, aktiviti berkempen yang sangat terhad mungkin memberi kesan kepada peratusan pengundi untuk keluar mengundi hari ini meskipun proses demokrasi itu berlangsung pada hujung minggu.

“Jika kita lihat jumlah keluar mengundi tidak melebihi 65 peratus berbanding 495,196 pengundi berdaftar. Saya fikir jumlah itu agak membimbangkan memandangkan hari pengundian berlangsung pada Sabtu.

“Faktor pertama mungkin disebabkan pandemik COVID-19 yang mengekang pergerakan orang ramai. Jumlah antara 61 hingga 65 peratus sangatlah kecil berbanding dengan PRU14 melebihi 75 peratus yang keluar mengundi,” katanya dalam Analisis Keputusan PRN Melaka di TV Pertiwi, malam ini.

Melihat kepada suasana norma baharu itu, Prof Amini mencadangkan kerajaan mempertimbang untuk sistem pilihan raya negara diadakan secara atas talian selaras dengan situasi ketika ini.

“Cuma, banyak perkara yang perlu diperhalusi seperti dari segi teknikal dan operasinya yang mungkin perlu difikirkan semula. Bagaimanapun, PRN Melaka ini adalah satu penanda aras kepada parti politik negara untuk mengorak langkah bertanding pada PRU15.

“Saya kira ini penanda aras untuk melihat kekuatan Perikatan Nasional (PN) sebagai pakatan baharu terutama bagi Bersatu, PAS dan Gerakan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menyasarkan kira-kira 70 peratus pengundi yang layak, akan keluar mengundi pada PRN kali ini.

Bagaimanapun, peratusan itu tidak mencapai sasaran dengan hanya sekitar 61 peratus sahaja pengundi yang keluar membuang undi sehingga 4 petang tadi.

PRN Melaka menyaksikan seramai 112 calon bertanding dengan Barisan Nasiona (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH) bertanding di semua 28 kerusi, manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) di lima kerusi, Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) satu kerusi dan Bebas sebanyak 22 kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button