Berita Utama

PRN Melaka: Proses undi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi

Pengundi, parti politik makin matang patuh SOP

MELAKA, 15 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di 217 pusat mengundi berjalan lancar setakat ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang baik di kalangan pengundi.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, sejak jam 8 pagi tadi proses pengundian berlangsung tanpa sebarang provokasi atau kemunculan barong panas.

Beliau seperti dilapor Kosmo! berkata, hasil pemantauan pasukannya sehingga jam 11.30 pagi, semua pihak termasuk calon, jentera parti politik dan pengundi didapati mematuhi SOP ditetapkan.

“Apa yang paling baik sekali proses PRN Melaka ini, langsung tiada barong-barong panas berhampiran pusat mengundi dibuka yang boleh mencetuskan provokasi.

“Ini menunjukkan pengundi dan parti-parti politik kini semakin matang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga profesional dan tahniah kepada orang Melaka kerana kematangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Mas di sini, hari ini. 

Proses pengundian PRN Melaka bermula 8 pagi ini dengan 217 pusat pengundian dibuka membabitkan sebanyak 1,109 saluran bagi membolehkan rakyat Melaka memilih kerajaan baharu.

Pengundian membabitkan 476,037 pengundi biasa daripada keseluruhan 495,195 pengundi, dikendalikan seramai 12,290 petugas pilihan raya di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga waktu mengundi tamat pada 5.30 petang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button