Polis Israel bunuh guru Pendidikan Islam Palestin
Tutup pintu gerbang Kota Lama selepas serangan

BAITULMAQDIS, 16 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Polis negara pengganas Israel melepaskan tembakan dan membunuh seorang lelaki Palestin berhampiran Bab al-Silsila, di Kota Lama Baitulmaqdis yang diduduki.
Lelaki itu dikenali sebagai Fadi Abu Shukhedem – seorang guru Pendidikan Islam berusia 42 tahun yang berasal dari kejiranan Shuafat di Baitulmaqdis yang diduduki.
Polis Israel mendakwa, Abu Shukhedem melepaskan tembakan ke arah anggota polis, membunuh seorang daripada mereka dan mencederakan tiga lagi.
Keadaan dua daripadanya disifatkan sebagai serius.
Abu Shukhedem didakwa menggunakan senapang ringan dan pisau untuk melakukan serangan itu.
Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) dalam satu kenyataan berkata, Abu Shukhedem secara politik mempunyai kaitan dengan pergerakan bersenjata yang berpangkalan di Gaza.
Tidak lama selepas insiden itu, polis Israel menutup pintu gerbang Kota Lama bahkan menyusun pusat pemeriksaan di seluruh kawasan kejiranan dan jalan menuju ke perkarangan Masjid al-Aqsa di sebelah timur Kota Lama. – Agensi