Berita Utama

Kalah PRN, Pengerusi DAP Melaka letak jawatan

Gagal pertahan separuh daripada lapan kerusi DUN

MELAKA, 16 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Datuk Tey Kok Kiew mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi DAP negeri berkuat kuasa serta-merta.

Tindakan itu susulan gagal mempertahankan separuh daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Keputusan PRN Melaka semalam menyaksikan DAP hanya menang empat kerusi iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh, berbanding lapan DUN ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bahkan, Kok Kiew turut kecundang dalam saingan lima penjuru di kerusi DUN Bemban selepas ditewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Dr Mohd Yadzil Yaakub yang memperolehi 4,211 undi.

Berikutan itu, dia memohon maaf dan bertanggungjawab ke atas kegagalan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri dalam PRN Melaka kali ini.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baharu, malah lapan kerusi yang kita menangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berkurangan.

“Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

“Sebagai ketua negeri mesti bertanggungjawab sepenuhnya. Maka dengan ini mengumumkan saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri berkuat kuasa serta-merta,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Bagaimanapun dia memaklumkan kekal sebagai ahli DAP.

Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN memperoleh majoriti selesa selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Manakala PH disahkan memenangi lima dan PN pula memiliki dua kerusi.

Sementara Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan semua 22 calon Bebas pula gagal memperolehi sebarang kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button