Pendapat

Keluar mengundi rendah membantu kemenangan besar BN

MCA, MIC jangan terlalu bangga kerana undi majoriti dari pengundi Melayu

TAHNIAH UMNO (BN)! seperti yang dijangka, jika peratusan yang keluar mengundi rendah, kemenangan akan berpihak kepada BN.

Peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan masyarakat Cina, turut membantu. Budaya politik Cina terkenal dengan ‘kiasi’ (takut mati) kepada jangkitan COVID-19, mengatasi kiasu (takut kalah) dalam kalangan masyarakat Cina, menyebabkan ramai yang tidak turun mengundi. Ini juga turut membantu kepada kejayaan BN.

Justeru, MCA (2) dan MIC (1) janganlah terlalu bangga dengan kemenangannya kerana undi kemenangannya datang daripada majoriti pengundi Melayu. Berterima kasihlah kepada mereka.

Beruntunglah kamu, kerana kerusi yang dimenangi dengan jawatan exco yang akan diberikan, yang pastinya tidak mencerminkan kemenangan sebenar berbanding jumlah kerusi yang dimenangi. Tetapi atas semangat perpaduan, tetap diberikan. Jangan terlalu lantang memperjuangkan UEC.

Janganlah jadikan tiga kerusi ini menjadikan kamu bongkak untuk menuntut lebih banyak kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Apapun jangan terlalu bangga, bongkak dan sombong dengan kemenangan PRN Melaka ini.

PRN Melaka tidak boleh dijadikan tanda aras kepada negeri-negeri lain kerana budaya politiknya agak sedikit berbeza.

Jika BN mahu merampas beberapa negeri yang kuasai PH dalam PRU15 akan datang seperti, Selangor (termasuk Pulau Pinang), hidupkan dan mantapkan segera Muafakat Nasional (MN), begitu juga dengan PPBM. Jika jurang perpecahan dapat dielakkan, pastikan negeri-negeri di bawah PH akan dapat dirampas dalam PRU15 nanti.

PN pula perlu melakukan muhasabah diri, jangan buli rakan sepakatan. Dalam PRN Melaka, memberikan kerusi kepada PAS di kawasan campuran, adalah strategi yang tidak kena. PAS sepatut bertanding di kawasan yang lebih ramai majoriti Melayunya. PAS masih sukar untuk mendapat lebih pengaruh di kawasan campuran yang agak besar.

Kesimpulan sementara yang boleh dibuat hasil PRN Melaka ini adalah

1. Perkasakan MN segera untuk kemenangan seterusnya dalam PRU15, mungkin ia agak sukar untuk berlaku di Terengganu dan Kelantan, tetapi di negeri-negeri lain ia mesti dilakukan. Tidak mustahil negeri-negeri bawah PH turut boleh dirampas.

2. Bertanding secara solo, bukanlah strategi terbaik untuk UMNO (BN), kerana Melaka tidak boleh dijadikan tanda aras, meskipun BN mencapai kemenangan besar.

3. Mengadakan pilihan raya dalam musim COVID-19 memberikan kredit kepada parti-parti politik Melayu disebabkan oleh budaya kiasi (takut mati) kepada penyakit berjangkit COVID-19, masih lagi mencengkam dalam masyarakat Cina mengatasi budaya kiasu.

4. Elok segerakan PRU15 kerana kredit masih berpihak kepada BN (MN). Jika PH mahu putuskan persefahaman yang telah dipersetujui, ini masa yang terbaik untuk menyambutnya, dan adakan PRU15 segera

5. Buang jauh-jauh sifat bangga, ego, bongkak, sombong dan abang besar, kerana pasti merosakkan muafakat dan kerjasama.

6. Jangan berikan kerusi majoriti besar Melayu kepada parti-parti seperti MCA, MIC dan Gerakan, kerana ia pasti akan merugikan. Biar mereka berentap di kawasan yang sepatutnya.

7. Kemenangan PRN Melaka, tidak mustahil boleh diulangi dalam PRN Sarawak tidak lama lagi. Gabungan BN-GPS-PN mampu meraih kemenangan besar jika disegerakan dengan mematuhi SOP COVID-19 ketika pilihan raya.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button