Berita Utama

Keputusan PRN beri pengajaran, ‘katak-katak politik’ telah dihukum

'Track record' BN faktor menang majoriti selesa, tapi PRU15 tak semestinya sama

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Ahad Rabiulakhir 1443H, Ahad – Dengan majoriti selesa lebih dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kerajaan Barisan Nasional (BN) dijangka lebih stabil berbanding kerajaan terdahulu.  

Penganalisis politik, Shahbudin Embun berkata, kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini boleh dirumuskan atas beberapa sebab.

Antaranya, pengalaman pahit 22 bulan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini banyak mengajar pengundi agar lebih berhati-hati dalam membuat keputusan.

Ia sekaligus menjadikan pertandingan pelbagai penjuru memberi kelebihan kepada BN. 

“Pengundi atas pagar yang tidak menyukai BN tetap tidak memberikan undi kepada PH, sebaliknya mengundi Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada Ismaweb.net.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa ‘track record’ BN yang terbukti memajukan negeri Melaka sejak merdeka dapat meyakinkan pengundi.

“BN juga menampilkan ramai muka baru. Penyandang dan penyokong yang tidak terpilih sebagai calon tidak melakukan sabatoj dalaman,” katanya.

Pun begitu, Shahbudin yang juga Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) yakin walaupun BN menang besar, tidak semestinya di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti kedudukannya akan serupa.  

“Keadaan mungkin berbeza yang juga memerlukan strategi yang berlainan,” katanya.

Namun apa yang pasti, PRN kali ini sudah memberi pengajaran kepada Ahli Parlimen ‘lompat parti’ yang kononnya menyangka tindakan mereka dimaafkan rakyat.  

“3 dari 4 ADUN yang menarik sokongan sehingga terbubarnya DUN telah kalah, seorang lagi tidak bertanding,

“Katak-katak politik telah pun dihukum oleh pengundi-pengundi negeri Melaka. Ini memberi isyarat supaya ahli-ahli politik tidak lagi melompat,” katanya.

BN semalam memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan. 

Manakala Pakatan Harapan (PH) disahkan memenangi lima dan Perikatan Nasional (PN) pula memiliki dua kerusi.

Sebaliknya, Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan kesemua 22 calon Bebas gagal memperolehi sebarang kerusi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button