Artikel Khas

PEMBELA syor kajian terperinci peratusan keluar mengundi rendah

Apa percaturan politik bakal berlaku di peringkat nasional pasca PRN?

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka secara rasmi melabuhkan tirainya dengan kemenangan besar memihak kepada Barisan Nasional. Tahniah.

Namun, di sebalik keputusan pada PRN kali ini, kita perlu ambil serius pada peratusan keluar mengundi yang rendah sehinggakan pemimpin-pemimpin politik perlu merayu-rayu supaya rakyat keluar mengundi pada petang hari, iaitu pada saat-saat akhir.

Ini merupakan suatu signal rakyat yang perlu diambil serius oleh pemegang-pemegang taruh politik negara termasuk pihak SPR sendiri.

Seperti yang kita sebut sebelum ini, PRN kali ini adalah sesuatu yang tidak diingini oleh rakyat pun. Ianya terbukti dengan peratusan keluar mengundi yang rendah. Yang keluar mengundi pun, kita difahamkan rata-ratanya berbelah bahagi untuk mengundi.

Rakyat lihat PRN Melaka ini hanyalah salah satu dari siri-siri eksperimen bagi ‘game’ sebenar yang ditunggu-tunggu oleh para politikus iaitu PRU-15. Tidak mustahil akan ada negeri-negeri lain pula yang akan tumbang secara tiba-tiba untuk dijadikan bahan eksperimen yang serupa.

Apa yang pasti lagi ialah, pelanggaran SOP secara besar-besaran dari semua pemain utama politik yang dilihat seolah-olah kompaun itu hanyalah ‘kos perbelanjaan’ bagi berkempen. Malah, isu merayu undi ketika hari mengundi masih berulang tanpa sebarang tindakan serius.

Naiknya calon bukan Muslim di kawasan-kawasan majoriti Muslim sememangnya berpunca dari keegoan pihak tertentu bagi melayan tarik talik politik sebenarnya memakan diri secara tidak sedar.

Sepatutnya lebih ramai calon Muslim boleh dinaikkan ke Dewan Undangan Negeri Melaka yang mampu menguatkan naratif Melayu dan Islam tetapi para pemegang taruh politik kita tidak kisah akan perkara ini.

MCA dan MIC dihidupkan semula BN dengan kemenangan mereka di kawasan-kawasan majoriti Melayu semata-mata. Alangkah baiknya kerusi-kerusi ini dapat disandang oleh calon-calon Muslim.

Ini juga membuktikan sekali lagi bahawa pengundi bukan Melayu akan tetap mengundi PH walau apa pun yang berlaku, dan tidak mungkin mengundi MCA atau MIC. Sebab itu mereka (MCA dan MIC) terus ‘cari nyawa’ di kerusi Melayu.

PRN ini juga dikatakan sebagai penentu sama ada umat ini akan terus bergaduh sesama sendiri dan melebarkan jurang, ataupun tidak. PRN kali ini dihidangkan dengan kebencian sesama umat Islam dengan siri-siri fitnah dan pelbagai kejelekan sebagai bahan propaganda kempen.

Kita tidak pasti apa percaturan politik yang bakal berlaku antara mereka semua di peringkat nasional pasca PRN Melaka ini. Harapnya tidak ada lagi PRN di negeri-negeri lain kerana apa yang berlaku seperti Melaka ini.

Jurang perpecahan (masyarakat kita terlalu kuat berparti) ini akan terus melebar sehingga PRU-15 jika tidak dirawat dengan cermat dan segera kerana walaupun PRN sudah habis sehingga saat ini, pergaduhan sesama sendiri masih dilihat belum terhenti.

Oleh itu, kita tekankan sekali lagi agar semua pemegang taruh politik terutamanya dari kalangan orang Melayu dan Islam untuk kembali ke meja rundingan dan sekurang-kurangnya meredakan dahulu segala kecamukan yang sedang berlaku.

Apa-apa pun tahniah kepada semua yang memenangi dan bakal menjawat jawatan sebagai ADUN di Melaka, baik sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
21 November 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button