Berita Utama

Polis cari ‘marshal’ hentikan lalu lintas awam untuk konvoi

Konon beri laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi

PORT DICKSON, 16 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Polis sedang mengesan pengiring – marshal – konvoi motosikal berkuasa tinggi yang memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini.

Ini susulan tular video berdurasi satu minit 10 saat menunjukkan aksi marshal memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan ahli konvoi melalui persimpangan lampu isyarat berkenaan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video yang dimuat naik ke laman sosial Facebook oleh pemilik akaun Epul Adam Helmet Bajet menunjukkan aksi marshal mengawal dan memberhentikan kenderaan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong.

“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah.

“Tujuan tindakan marshal dipercayai bertujuan untuk memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak dalam konvoi bagi melepasi lampu isyarat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, konvoi motosikal berkuasa besar itu bergerak dari Lebuh Raya Seremban – Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke Bulatan Sunggala Telok Kemang.

“Polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marshal berkenaan dan sesiapa yang memiliki maklumat berkaitan kejadian diminta beri kerjasama kepada pihak IPD Port Dickson di Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik atau menghubungi talian terus di talian 06-6472222.

“Pihak PDRM menasihati kepada kumpulan konvoi yang bergerak supaya tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran anggota atau pegawai polis kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Aidi Sham berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Polis dan Sekyen 79(2)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button