Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Tok Mat beritahu PM, wajar adakan PRU15 masa terdekat

Beri peluang kepada BN berdasarkan sentimen rakyat

SEREMBAN, 16 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melihat kewajaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat agar mandat baharu dapat diberikan semula kepada rakyat.

Selain itu beliau berpendapat, jika PRU15 itu diadakan dalam tempoh masa berkenaan ia memberi peluang terbaik kepada BN berdasarkan kepada sentimen rakyat terhadap BN ketika ini.

Katanya, perkara itu turut disuarakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam selepas BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Saya bercakap dengan Perdana Menteri semalam yang mana kita perlu pertimbangkan untuk segerakan PRU15. Suka atau tidak kita tunggu sehingga bulan Julai nanti sebab perjanjian (memorandum persefahaman kerajaan dan pembangkang) hingga bulan Julai tahun depan.

“Ini pun tidak tahu kerana banyak yang kalah teruk di Melaka…tidak tahulah pula kalau mereka menarik diri sebab dalam politik apa jua boleh berlaku.

“Dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, justeru terpulang kepada BN dan UMNO untuk membuat ulang kaji,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (PerSoNa) di sini hari ini.

Memorandum Persefahaman antara kerajaan dan pembangkang itu berkuat kuasa daripada tarikh ia ditandatangani, iaitu 13 Sep lepas dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen Malaysia ke-14, juga pada masa sama kerajaan bersetuju tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

Sementara itu, Mohamad atau lebih mesra panggilan Tok Mat berkata, kemenangan BN pada PRN Melaka merupakan satu keputusan daripada rakyat negeri Melaka yang jelas memberikan isyarat bahawa mereka ingin sebuah kerajaan yang stabil serta membawa kesejahteraan, kemakmuran kepada negeri dan negara.

“Itu isyarat yang boleh saya baca. Saya bersyukur atas kemenangan tersebut tetapi ini satu amanah yang besar diberikan kepada BN agar kerajaan negeri Melaka yang baharu mengurus tadbir dengan baik.

“Saya harap ini juga merupakan sentimen di seluruh negara. Saya ucapkan terima kasih kepada semua rakyat Melaka, pengundi-pengundi Melaka kerana memberi kepercayaan kepada kami,” katanya.

Pada PRN itu, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) dua kerusi.

Mohamad berkata, BN akan melakukan post-mortem pada Isnin minggu depan membabitkan prestasi keputusan PRN Melaka dan sehubungan itu juga UMNO masih lagi terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button