Berita Utama

Zahid, Rauf dikompaun RM10,000 langgar SOP pada PRN Melaka

Kesalahan lawatan ke rumah dan tak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 16 Rabiulakhir 1443H, Ahad – Presiden UMNO,  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dikenakan kompaun RM10,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan berkata, siasatan dijalankan susulan video yang tular di media sosial membabitkan dua individu berkenaan.

“Siasatan Kementerian Kesihatan mendapati terdapat pelanggaran SOP ketika Pilihan Raya Negeri Melaka membabitkan dua individu itu pada 19 November lalu di Masjid Tanah,” katanya.

Berikutan itu,  kementerian mengeluarkan kompaun RM10,000 setiap seorang di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Kompaun dikeluarkan kerana melanggar SOP pencegahan COVID-19 iaitu melakukan lawatan rumah ke rumah dan tidak memakai pelitup muka,” kata kementerian.

SOP dikeluarkan pada 7 November untuk memastikan setiap individu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button