Pendapat

Pasca PRN Melaka: Apa di sebalik kemenangan BN?

Faktor calon mendominasi isu nasional dan kaum

PILIHAN Raya Negeri (PRN)  Melaka telah melabuh tirai setelah 12 hari BN, PN & PH berkempen dalam keadaan diikat dalam norma baharu akibat wabak COVID-19 belum reda.

Tahniah kepada BN kerana menang besar, seakan-akan kembali ke keputusan PRU13 lalu apabila BN menang 21 kerusi juga.

Cumanya, dalam kemenangan, ada analisis yang saya telah buat untuk membongkar di sebalik kemenangan BN, dan kekalahan PH & PN.

KADAR TURUN MENGUNDI RENDAH

Untuk rekod, sebanyak 83.4% turun mengundi PRU14. Namun begitu, jumlah tersebut turun mendadak ke 64.1% sahaja akibat kerisauan dengan wabak COVID dan letih dengan politik semasa. Kebanyakan yang tidak keluar mengundi merupakan anak muda yang bekerja di luar.

PH KALAH DAN BN MENANG

Antara sebab PH kalah teruk dalam PRN ini, dan menyebabkan BN menang ialah:

  1. Kadar turun mengundi rendah kerana pengundi luar yang turun sebelum ini memberi kemenangan kepada PH dalam PRU14.
  2. Majoriti calon BN dekat dengan masyarakat dan mempunyai nama dalam kalangan masyarakat setempat.
  3. Peralihan sekitar 3-5% undi daripada PH ke BN. Hal ini terbukti melalui di 16 daripada 28 kerusi DUN dengan jumlah peralihan undi ke BN paling banyak di DUN Merlimau (13%), Lendu (14%), Machap Jaya (9%) dan Duyong (8%).
  4. Protes sebahagian undi ahli PH akibat calon, misalnya di DUN Machap Jaya dan Paya Rumput. Malahan, protes ini menjadikan mantan Ketua Menteri Melaka, Idris Haron yang menarik sokongan pada kerajaan BN kalah teruk di DUN Asahan, sementara Azman duduk di nombor tiga di DUN Pantai Kundor.
  5. Kewujudan PN yang lebih banyak curi undi PH daripada BN di hampir semua kerusi DUN majoriti Melayu.

BN Menang tetapi tidak popular

Hal ini terbukti apabila dibuat analisis data, BN hanya peroleh 39% undi popular sahaja (kenaikan 1.1% sahaja), sementara undi PH merosot teruk daripada 51% kepada 36% sahaja (akibat kadar turun mengundi rendah), dan PN yang baru sahaja masuk gelanggang pilihan raya sudah mempunyai 25% undi popular.

Oleh kerana itu, BN tidak boleh selesa dengan kemenangan tersebut.

UMNO perlu awasi PN (PPBM) di undi tentera/polis dan undi Melayu

Apakah sebab UMNO perlu awasi PN? Hal ini kerana:

  1. PN menang mengejut di DUN Sg Udang (42% pengundi tentera) dan Bemban.
  2. PN peroleh 30% undi Melayu dalam PRN ini. Saya mengagakkan PN telah mempunyai 4% undi asas dari GERAKAN, 12% undi asas dari PAS (majoriti mereka mengundi PN) dan undi asas dari PPBM (10%). Kiranya, PN peroleh 8% undi tambahan dari orang Melayu (kebanyakan dari PH).
  3. PAS hampir sahaja menewaskan UMNO di DUN Serkam.
  4. PN mendapat undi banyak (di tempat ke-2) dalam undi awal (polis & tentera). Di Ayer Keroh, BN meraih 333 undi awal manakala PN meraih 270, dan PH hanya peroleh 36 undi. Trend yang sama juga dilihat di Bandar Hilir yang mana PN memperoleh 181 undi awal berbanding 271 undi BN. PH pula mendapat 23 undi.

Jika BN ingin teruskan bertanding solo, BN perlu membuat sesuatu untuk mengelakkan kerusi seperti di DUN Pangkor di Perak (disandang Zambry Abdul Kadir) hilang dan PPBM berpeluang menang kerusi parlimen Setiawangsa di mana 30% merupakan pengundi tentera.

Dalam masa yang sama, BN perlu membuktikan pentadbiran ‘Keluarga Malaysia’ dan negeri Melaka meninggalkan bekas kuat terhadap orang Melayu, kekal bersikap rendah diri dan banyak membuat program menyentuh orang Melayu agar kaum ini khususnya pengundi muda terus menyokong BN, dan mengelakkan PN menjadi pemenang bagi undi Melayu. Jika ini tidak diawasi dengan baik, misi PPBM untuk gantikan UMNO dalam merebut undi Melayu dan tentera/polis (deposit tetap UMNO) tercapai.

FAKTOR CALON MENDOMINASI ISU NASIONAL DAN KAUM

Jika dilihat sumber berita yang ada dan keputusan PRN ini, ada kerusi yang dimenangi parti tersebut atas kerana calon, iaitu:

  1. Merlimau: Dr Akmal dari UMNO merupakan calon popular dengan mempunyai klinik sendiri dan memberi servis terbaik dalam soal perubatan dan kebajikan. Hasilnya, Dr Akmal peroleh 58% undi.
  2. Bemban & Sg Udang: Calon PPBM yang menang kerusi ini dikatakan telah bergerak lama membantu rakyat di sana.
  3. Kelebang, Rim, Lendu (Ketua Menteri Melaka sekarang) dan Bukit Katil (Adly Zahari – mantan Ketua Menteri PH).
  4. Mas Emeryanti (PPBM) yang merupakan nama besar hampir sahaja menewaskan nama besar dari BN juga (Ab Rauf) di Tg Bidara.

Sememangnya PRN dan PRK ini menjadi kelaziman di luar bandar dan sub bandar khususnya pengundi lebih terpengaruh isu lokal daripada nasional.

Selain itu, sebahagian calon yang menang ini merupakan anak muda daripada BN, PH dan PN. Hasilnya, hampir suku di DUN nanti adalah kalangan anak muda bawah 35 tahun. Hal ini satu anjakan paradigma yang ditunjukkan semua parti gabungan untuk meremajakan parti.

Kesepitan Ismail Sabri dalam berkempen

Ramai netizen juga pelik sebab apa Perdana Menteri tidak turun berkempen, dan hanya turun apabila BN menang dan turun berkempen bertemu rakyat tanpa publisiti kuat. Hal ini kerana amat difahami jika PM turun berkempen habis-habisan untuk BN, PN boleh ‘tekan butang’ untuk tarik sokongan dengan PH pula memikirkan semula MOU dengan kerajaan. Namun begitu, hampir semua menteri kem Ismail Sabri turun berkempen di Melaka terang-terangan.

Adakah dengan Mas Emiryanti hampir kalahkan UMNO di Tg Bidara diterjemahkan ke kerusi lain?

Sememangnya tidak dinafikan faktor calon kuat perlu diperhatikan. Kerusi lompat UMNO (Semenanjung) seperti Masjid Tanah, Tanah Merah, Bukit Gantang, Larut, Jeli, Bagan Serai, Hulu Terengganu, Tasik Gelugor dan Mersing ini perlu diperhatikan oleh UMNO dengan meletakkan calon yang kuat dan yakinkan pengundi sana untuk dahulukan undi ikut parti daripada calon untuk elak daripada kehilangan kerusi-kerusi tersebut.

Senarai kerusi Parlimen Melaka – Siapa menang PRU15?

  1. Kota Melaka – sudah pasti dimenangi DAP (PH)
  2. Jasin – sudah pasti dimenangi UMNO

Walau bagaimanapun, saya ingin mencadangkan agar Dr Akmal dijadikan calon untuk parlimen nanti kerana beliau anak muda, peroleh undi majoriti kedua terbesar bagi kerusi UMNO dan atas faktor pertambahan mendadak pengundi 18-25 tahun, demi membolehkan BN terjamin untuk kekal menang di sini.

  1. Masjid Tanah – boleh dimenangi UMNO tetapi ada syarat

Untuk mengelakkan kerusi ini jatuh ke tangan PPBM (yang pasti meletakkan Mas Emeryanti), Ketua Menteri sekarang, iaitu Datuk Sulaiman Ali perlu diletakkan sebagai calon di sana.

  1. Tangga Batu dan Alor Gajah – kerusi kelabu (50:50)

Keputusan PRN ini yang menyaksikan 4 daripada 5 kerusi bawah Alor Gajah dimenangi calon PH dengan majoriti undi tipis, dan kehilangan kerusi tersebut PRN ini. Di Tangga Batu pula, kerusi yang dimenangi BN di 3 kerusi DUN sangat tipis dan PN menang di Sg Udang. Sebelum ini, 2 daripada 4 kerusi dimenangi BN, dan selebihnya PH.

  1. Hang Tuah Jaya – boleh dimenangi PH tetapi ada syarat

Syarat utama PH menang kerusi ini ialah ramai pengundi luar menyokong PH dan dapatkan undi majoriti kawasan Cina dan DUN Bukit Katil dengan Ayer Keroh lebih besar.

Apakah bakal terjadi lepas PRN Melaka?

  1. Kerajaan BN Melaka tidak lagi tergugat. Mereka boleh membuat polisi dan dasar tanpa terikat parti lain.
  2. PN dan PAS dijangka akan terus kerjasama dengan BN hingga PRU15 dan hubungan UMNO-PAS dalam Muafakat Nasional akan menjadi ibarat masih suami isteri tetapi tidak duduk sebumbung lagi. Persaingan BN-PN sudah tentu akan jadi sengit tetapi mereka pasti akhirnya bekerjasama jika kedua-dua gabungan tersebut tidak cukup majoriti kerana misi kedua-dua gabungan ini hanyalah kalahkan PH.
  3. Tidak mustahil PRU15 dibuat lebih awal namun kes COVID perlu terkawal agar meyakinkan pengundi luar turun mengundi. Sebenarnya, sengaja membuat PRU awal akan membolehkan BN boleh tadbir Malaysia semula secara bebas kerana pengundi luar tidak turun mengundi, tetapi ada risiko yang akan dilabel teruk oleh netizen.

Mampukah BN bergerak solo?

BN boleh bergerak solo tetapi tidak mampu untuk memenangi kerusi majoriti. Namun begitu, target BN paling kurang adalah untuk dapat kerusi terbanyak supaya boleh jadi Perdana Menteri apabila bentuk kerajaan campuran. Target ini lebih realistik.

Akan tetapi, ini senarai yang BN perlu lakukan untuk bergerak solo ini berjaya:

  1. BN perlu tunjukkan corak dasar dan pentadbiran peringkat pusat dengan ‘Keluarga Malaysia’ dan di negeri Melaka dengan cemerlang dan membekas di hati rakyat.
  2. UMNO perlu jadi seperti PPBM dengan kekal merendah diri dan tawaduk agar PPBM boleh membuat kesilapan dengan mudah hingga dilabel negatif oleh rakyat.
  3. Banyakkan imej positif di mata anak muda agar majoriti mereka mengundi BN PRU15 nanti.

Selepas PRN Melaka, kita ke PRN Sarawak pula. Apa keputusannya?

Arif Anwar Lokmanol Hakim
Pemerhati politik negara

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button