Berita Utama

ADUN DAP gesa Anwar Ibrahim berundur daripada jawatan ketua pembangkang

DAP diminta pertimbang keluar dari PH jika tiada ruang ‘reset’ semula

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa berundur daripada jawatan ketua pembangkang berikutan kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut-DAP, Lee Chin Chen berkata, sekiranya Anwar gagal berbuat demikian, DAP perlu mempertimbangkan kemungkinan untuk keluar daripada PH.

“Izinkan saya menjelaskan hujah saya secara jelas terlebih dulu. Saya berharap Anwar akan melepaskan baton kepimpinan, berada di belakang kepimpinan dan membantu pengganti generasi baharu mencapai tahap yang baharu.

“Saya menyeru Anwar berundur sebagai ketua pembangkang supaya PH boleh memilih pengganti baru. Marilah kita meneroka hala tuju dan konsensus baru kita serta menentang konservatif agama dalam pakatan sayap kanan Melayu.

“Sekiranya tiada harapan untuk PH reset semula, kepimpinan DAP mesti mempertimbangkan untuk keluar daripada gabungan itu dan mencari kerjasama lain bagi memastikan negara mempunyai parti pembangkang yang setia mempertahankan kepelbagaian dan politik sekularisme,” katanya menerusi hantaran dalam bahasa Mandarin di laman Facebooknya, seperti dipetik portal MalaysiaKini.

Beliau berkata, PH patut berhenti taksub dengan permainan angka kerana ia hanya akan menyebabkan kekalahan berulang.

“PH sudah lebih setahun taksub dengan permainan angka. Jika kita gagal menghentikan permainan itu selepas kekalahan PRN Melaka dan mengkaji semula hala tuju kita.

“… jika kita terus membanding-bandingkan diri kita secara membuta tuli dengan parti politik Melayu, kita akan hanya mengulangi kekalahan dalam pilihan raya Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Chin Chen yang juga Setiausaha DAP Pahang berkata, PRN Melaka adalah tamparan kepada PH.

“PH tidak sepatutnya mengikut tarian empat ‘katak’, membenarkan mereka bertanding di bawah tiket kita dan kita tidak boleh memperolokkan pengundi untuk menerima mereka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button