Berita Utama

BN dijangka teruskan strategi tanding solo

PN punyai potensi pergi lebih jauh pada PRU akan datang, populariti PH makin merosot

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka adalah sesuatu yang di luar jangkaan banyak pemerhati. 

Meskipun demikian, pada hakikatnya BN telah mendapat sokongan daripada rakyat dengan memberi mandat yang begitu besar, kata penganalisis politik, Dr Mazlan Ali.

Beliau berkata, walaupun terdapat faktor-faktor tertentu yang menyebabkan BN menang, tetapi muktamadnya parti itu kini adalah pemegang kuasa untuk membentuk sebuah kerajaan kukuh di Melaka.

Ia juga sekali gus memberi kemenangan moral yang besar kepada pucuk pimpinan UMNO khususnya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden parti. 

Dalam pada itu, Dr Mazlan berkata, keputusan UMNO untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga dilihat sebagai satu keputusan yang tepat. 

“Ini membawa pengukuhan kepada kepimpinan Zahid, memberi tekanan kepada pemimpin UMNO yang sebelum ni nampak pro-Bersatu. Ini juga menunjukkan bahawa BN akan mempertimbangkan bertanding secara solo seperti mana di Melaka,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Sementara itu, mengulas prestasi Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, walaupun koalisi itu tidak menang majoriti kerusi, tetapi hasilnya adalah memuaskan.

Katanya, ia mungkin dipengaruhi prestasi pengerusinya yang telah berkhidmat dengan baik sebelum ini sebagai seorang Perdana Menteri.

“Pengaruh Tan Sri Muhyiddin Yassin agak ketara, mungkin kerana 17 bulan beliau menjadi Perdana Menteri, beliau telah memberi impak positif kepada rakyat Melaka yang melihat beliau sebagai tokoh yang baik, tokoh yang membantu rakyat,” katanya. 

Justeru, kemampuan PN memenangi dua kerusi DUN dilihat agak luar biasa, kata pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.

“Ini kerana PN mampu mengalahkan Pakatan Harapan dan juga BN sendiri. Kerusi yang dimenangi PN itu adalah kerusi semi bandar dan juga kawasan luar bandar. 

“Saya berpandangan bahawa PN mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Populariti PH makin menurun, orang Melayu tidak lagi terpengaruh

Manakala, prestasi PH pula nampaknya agak merosot mungkin disebabkan kerana kekurangan pengundi luar hadir pulang ke Melaka. 

“Ini kerana PH banyak bergantung krpada pengundi atas pagar, pengundi luar yang kritikal terhadap kerajaan. Asasnya mereka menyokong isu-isu yang diperjuangkan oleh PH. 

“Tapi disebabkan kadar turun mengundi ini rendah, ia memberi kesan kepada PH,” katanya.

Selain itu, beliau berpandangan bahawa orang Melayu juga tidak lagi begitu dominan menyokong PH. 

“Masa PRU14, Melayu yang menyokong PH kerana dipengaruhi oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang memimpin gerakan menentang UMNO pada masa itu sebagai Pengerusi PH. 

“Jadi populariti Anwar di mata orang Melayu agak rendah mutakhir ini. Dan ia sudah diterjemahkan dalam PRN Melaka,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button