Berita Utama

Boikot parti politik sokong judi, arak!: PERKID

Jangan biar cacing naik ke mata, kesilapan pemimpin dahulu mesti dihenti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Umat Islam wajib boikot serta menolak parti politik yang menyokong aktiviti judi, arak serta premis mungkar.

Ini kerana kebanjiran industri judi dan arak hanya akan membinasakan institusi keluarga, mendatangkan bala bencana kepada masyarakat dan negara.

Ia termasuk peningkatan kes jenayah dan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa rakyat dalam negara ini.

Selain itu, kewajipan menghapuskan judi sudah jelas perintah Allah SWT dalam al-Quran serta hadis.

Bahkan, Perlembagaan negara seperti yang termaktub dalam Perkara 3, Islam adalah agama Persekutuan serta hak-hak keistimewaan peribumi Melayu dalam Perkara 153, kata Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) Ustaz Masridzi Sat.

Justeru, beliau meminta golongan pemimpin DAP, Gerakan serta yang bukan muslim menghormati keputusan kaum majoriti dan tidak bersikap biadab terhadap pemimpin yang ingin melaksanakan agenda Islam dalam negara ini.

“Sesiapa yang menghalang usaha menghapuskan aktiviti jenayah, mungkar dan maksiat dalam negara adalah pengkhianat dan musuh negara kita.

“Rakyat diminta bersatu hati, berpadu tenaga membantu pihak kerajaan membanteras segala kemungkaran yang ada agar negara kita tidak lagi ditimpa bala bencana seperti wabak COVID-19 yang meragut nyawa puluhan ribu rakyat dalam negara kita,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan negeri Kedah yang tidak akan memberi kelulusan lesen premis perjudian selain mengehadkan aktiviti penjualan arak.

Meskipun ramai pihak menyambut baik pendekatan itu, tidak kurang juga yang mempertikaikan langkah berkenaan atas alasan kononnya menafikan hak bukan Islam.

Malahan ada beberapa pihak yang dilaporkan telah menghantar permohonan kepada mahkamah untuk mencabar undang-undang mengharamkan kedai judi.

Berikutan itu, Ustaz Masridzi yang juga Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggesa rakyat memilih pemimpin berintegriti, berani melaksanakan tanggungjawab amar maaruf nahi munkar serta bersungguh membela nasib agama, bangsa dan negara.

“Jangan biarkan cacing naik ke mata. Kesilapan pemimpin terdahulu yang mengakibatkan rakyat dan negara menderita mesti dihentikan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button