Jordan bekal penempatan haram Israel dengan tenaga elektrik
Perjanjian akan ditandangani selepas beberapa bulan rundingan rahsia antara Israel, Jordan dan UAE

DUBAI, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Israel, Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dijangka menandatangani perjanjian hari ini di Dubai, di mana loji solar di padang pasir Jordan akan menjana tenaga elektrik untuk penduduk negara haram.
Ia sebagai pertukaran untuk loji penyahgaraman di Israel yang akan membekalkan Jordan dengan air, kata agensi berita.
Laman web berita Israel, Walla memetik pegawai mengatakan bahawa perjanjian itu adalah projek kerjasama serantau terbesar yang pernah dicapai antara Israel dan jirannya.
Menurut laman berita itu, perjanjian tersebut, yang juga akan ditandatangani dengan kehadiran seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS), dibuat selepas beberapa bulan rundingan rahsia antara ketiga-tiga negara.
Pakar Palestin, Dr Saleh Al Naami berkata, perjanjian itu akan menjadikan padang pasir Jordan sebagai pangkalan sokongan untuk penempatan haram dan menyaksikan sisa dari Israel dibawa ke Jordan.
“Jordan mempunyai padang pasir di selatan dan ini akan digunakan untuk loji solar besar-besaran untuk menjana elektrik untuk dieksport ke penempatan Israel di Negev dan Tebing Barat,” kata Al-Naami.
Beliau berkata: “Sebahagian daripada infrastruktur perindustrian Israel, yang mempunyai pelepasan pencemaran yang membahayakan kawasan berpenduduk padat di Israel akan dipindahkan ke padang pasir Jordan dengan alasan mengupah pekerja Jordan.”
Al-Naami menegaskan, pelan ini membuktikan bahawa rejim Jordan semakin meningkatkan khidmatnya untuk kepentingan Israel. – Agensi