Kami sokong Sulaiman sebagai Ketua Menteri: Ab Rauf
Menafikan khabar angin terdapat tentangan terhadap pelantikan

ALOR GAJAH, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menafikan khabar angin bahawa terdapat tentangan terhadap pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri.
Beliau berkata, kesemua ketua-ketua bahagian parti itu di negeri ini sebulat suara menyokong penuh pelantikan itu sebagaimana dinyatakan sebelum ini.
”Saya ingin maklumkan bahawa kami tiada masalah, kita telah bersama-sama mendapat kerajaan yang stabil. Oleh itu saya menolak yang kononnya ada kemelut antara kami yang menentang Ketua Menteri sedia ada
”Kesemua kami (ketua-ketua bahagian), termasuklah saya selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO akan berikan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau juga menegaskan lantikan Sulaiman menunjukkan kepercayaan rakyat Melaka dengan kerjasama semua Ketua-ketua Bahagian UMNO untuk memastikan selepas ini mereka bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – Bernama