Berita Utama

MA63 bukan bertujuan takrif semula Malaysia

Harap semua Ahli Parlimen beri sokongan kepada RUU ini

KUCHING, 8 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan bertujuan untuk menakrifkan semula Malaysia.

Sebaliknya untuk memperbetulkan definisi sebenar Persekutuan mengikut kenyataan dan sejarahnya.

Bekas Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, pindaan itu dibuat menerusi Artikel 1 perenggan 2 dan Artikal 160.

“Saya bersyukur dan terima kasih di atas pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan di Parlimen awal bulan ini,” ujarnya.

Dalam masa sama, Sharifah Hasidah berharap semua Ahli Parlimen untuk memberi sokongan kepada RUU ini.

“Kepada Ahli Parlimen Semenanjung, jangan risau… kita bukan mahu mendefinisikan semula Persekutuan atau Malaysia. Sebagai contoh, kita mahu Artikel 160 dipinda (kerana) menunjukkan perjalanan negara Malaysia dari awal.

“Pindaan ini penting memandangkan ia menepati MA63 sekali gus melambangkan sejarah Malaysia itu sendiri.

“Tiada yang lebih atau kurang… kita masih satu Persekutuan yang sama-sama bergabung menubuhkan Malaysia,” katanya.

Pada 3 November lalu, Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat antaranya untuk memasukkan negeri-negeri Tanah Melayu dan negeri-negeri Borneo.

RUU bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button