Berita Utama

Kes aktif COVID-19 meningkat selepas kebenaran rentas negeri

Kesan dapat dilihat melalui kemasukan kes ke fasiliti kesihatan

PUTRAJAYA, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Kes aktif COVID-19 menunjukkan peningkatan semula selepas lima minggu kebenaran merentas negeri diumumkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesan itu dapat dilihat melalui kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit kategori tiga hingga lima.

“Berdasarkan analisis situasi semasa jangkitan COVID-19 sehingga 20 November Minggu Epidemiologi (ME) ke-46, sebanyak 2,581,747 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 69,485 kes aktif dan 29,978 kes kumulatif kematian.

“Kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 menunjukkan trend penurunan kecuali purata kes aktif yang meningkat enam peratus berbanding ME ke-45,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan vaksin COVID-19 dalam mengurangkan kematian terus dapat dilihat dengan secara keseluruhannya terdapat penurunan kes kematian, kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, purata kes aktif meningkat sebanyak 6.0 peratus daripada 62,224 kes (ME ke-45) kepada 65,722 kes (ME ke-46) sepanjang 14 hingga 20 November manakala, kes kematian konsisten menunjukkan penurunan 7.5 peratus dari 375 kematian kepada 347 kematian.

“Purata kes di ICU juga menurun 10 peratus iaitu 504 kes kepada 452 kes, purata kes memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan sedikit penurunan (3.3 peratus) dari 186 kes (ME ke-44) kepada 179 kes (ME ke-45) manakala, nilai Rt menurun 0.8 peratus dari 1.05 (95 peratus CI 1.05 – 1.06) kepada 1.01 (95 peratus CI 1.00 – 1.02) sejak 15 November,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button