Berita Utama

Peguam sakit gout, bicara Ahmad Zahid hanya berlangsung selama 30 minit

Hakim menetapkan perbicaraan bersambung hari Rabu ini

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini hanya berlangsung kira-kira 30 minit berikutan peguam yang mewakilinya mengalami sakit gout.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pergelangan kakinya bengkak disebabkan gout, namun beliau bersedia untuk menyambung hujahan hari ini.

“Saya tidak menyangka akan diserang (mendapat) gout, saya mengalami sakit yang amat sangat dan saya ada temu janji dengan doktor pada 1.30 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian sebelum berhujah dalam perbicaraan di akhir kes pendakwaan Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan Hamidi untuk memulakan hujahannya dan meminta peguam itu memaklumkan kepada mahkamah jika beliau berasa tidak selesa dan sakit.

Selepas berhujah kira-kira 20 minit dalam keadaan berdiri, Hamidi kemudian meminta untuk duduk dan berehat kerana sakit yang dialaminya.

Namun, ketika sesi penghujahan bersambung, peguam itu memohon prosiding ditangguhkan kerana beliau tidak mampu untuk menahan kesakitan walaupun Hakim Sequerah membenarkannya duduk ketika berhujah.

“Saya rasa tidak mampu meneruskan hujahan pada peringkat ini. Saya mohon untuk menangguhkan kes hari ini kerana ketika ini saya sakit,” kata peguam itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran tidak membantah permohonan pembelaan untuk mendapatkan rawatan.

Hakim Sequerah kemudian membenarkan permohonan Hamidi dan menetapkan perbicaraan bersambung Rabu ini.

Terdahulu, Hamidi dalam hujahannya berkata Ahmad Zahid tidak boleh dituduh melakukan pecah amanah kerana jutaan ringgit yang telah dikeluarkan daripada YAB sebenarnya telah dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman.

“Wang itu masih menjadi milik YAB dan tidak dipindahkan kepada pihak ketiga yang lain,” katanya.

Hamidi juga berkata Ahmad Zahid tidak mempunyai pengetahuan mengenai pengeluaran jumlah cek daripada dana YAB kerana bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly mempunyai kawalan dan penguasaan terhadap cek-cek itu.

“Beliau (Mazlina) menggunakan cap tandatangan untuk mengeluarkan cek. Kami mendapati dia cuai, dia tidak tahu bagaimana cek dan kad kredit berfungsi.

“Kami menegaskan bahawa tiada siapa yang menggunakan cap tandatangan untuk cek dan hanya digunakan untuk kad Hari Raya,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit wang milik YAB. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button