Berita Utama

PH hilang lebih 15 peratus undi Melayu pada PRN Melaka: Isham

14 peratus undi kekal kepada Bersatu, 1 peratus beralih ke BN

BANGI, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Pakatan Harapan (PH) hilang lebih 15 peratus undi yang mereka peroleh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas. 

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, 15 peratus yang hilang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini adalah daripada undi Melayu.

“Ke manakah 15 peratus undi daripada pengundi Melayu yang PH dapat pada PRU14 yang lepas hilang dalam PRN Melaka kali ini?

“Secara ringkasnya 14 peratus undi PH dari pengundi Melayu ini kekal kepada Bersatu. Manakala, satu peratus undi PH dari pengundi Melayu tersebut telah beralih kepada UMNO.

“Sebab itu Perikatan Nasional (PN) hanya dapat 24 peratus undi popular dalam PRN Melaka kali ini,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada PRN Melaka kelmarin, keputusan undi popular BN yang merangkumi UMNO, MCA dan MIC adalah sebanyak 38 peratus, PH melibatkan PKR, DAP dan PAN (36 peratus) dan PN iaitu koalisi antara Bersatu, PAS dan Gerakan (24 peratus).

Isham berkata, sepatutnya PN mendapat lebih daripada itu iaitu jangkaan 26 peratus memandangkan PAS telah mendapat hampir 11 peratus undi popular pada PRU14 yang lepas.

Manakala Bersatu sepatutnya mengekalkan 15 peratus undi daripada pengundi Melayu yang mereka dapat pada PRU14.

“Oleh itu, PH dan Bersatu kedua-keduanya kehilangan undi dalam PRN Melaka kali ini.

“Seperkara lagi, kadar keluar mengundi yang rendah memberi kesan kepada semua parti termasuk BN, PH dan PN. 

“Dan kadar 66 peratus keluar mengundi di PRN Melaka ini adalah sama dengan kadar keluar mengundi di PRN Sabah yang lepas,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button