Berita Utama

Tuntutan Laut China Selatan tak halang hubung ASEAN-China

Malaysia ulangi pendirian konsisten mahu isu ditangani secara aman

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Isu pertindihan tuntutan wilayah di Laut China Selatan tidak menjadi penghalang kepada hubungan antara China dan badan serantau itu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau percaya ekonomi, pendidikan dan banyak isu lain akan dapat diatasi melalui Hubungan Dialog ASEAN-China yang kini telah dipertingkat kepada perkongsian strategik komprehensif.

“Saya percaya lebih banyak boleh diharapkan dalam ekonomi dan sosio budaya daripada perkongsian strategik komprehensif,” katanya pada sidang media selepas mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi persidangan video hari ini.

Sidang kemuncak khas itu dipengerusikan bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden China Xi Jinping.

Saifuddin berkata pada sidang kemuncak khas itu Perdana Menteri sekali lagi mengulangi pendirian konsisten Malaysia mengenai Laut China Selatan dan mahu isu pertikaian itu ditangani secara aman, konstruktif dan rasional melalui dialog serta rundingan.

“Malaysia menekankan bahawa semua negara harus komited dalam memelihara Laut China Selatan sebagai perairan perdagangan, aman dan stabil,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button