Berita Utama

Banjir di sekitar Ampang Jaya dipercayai akibat projek lebuh raya

Tanah dan lumpur projek pembinaan terlonggok dalam longkang, sungai

KUALA LUMPUR, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Banjir kilat susulan hujan lebat di sekitar Ampang Jaya semalam dipercayai berpunca daripada kerja-kerja pembinaan lebuh raya di kawasan berhampiran, yang mengakibatkan tanah lumpur memasuki sungai dan saliran air.

Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tanah dan lumpur daripada projek pembinaan itu terlonggok di dalam longkang dan sungai mengakibatkan saliran itu menjadi cetek lalu menyebabkan banjir.

“Saya difahamkan hujan turun selama lima jam dan ia telah membawa 140 milimeter (mm) (hujan)…sungai di sini hanya boleh menampung 60 mm (hujan). Jadi, ia sudah menjadi dua kali ganda menyebabkan air itu melimpah keluar.

“Perkara ini berlaku kerana lumpur kerja-kerja pembinaan lebuh raya yang tersangkut di dalam sungai dan longkang menyebabkan air pada saliran itu cepat naik. Kita akan pastikan kerja pembaikan dipercepatkan dan juga keseluruhan pembangunan lebuh raya itu tidak terjejas dengan kejadian ini,” katanya dalam sidang media di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Lembah Jaya Utara di sini hari ini.

Beberapa kawasan di sekitar Ampang Jaya seperti Lembah Jaya Utara, Kampung Melayu Ampang, Kuala Ampang dan Jalan Kolam Air dilanda banjir kilat susulan hujan lebat petang semalam.

Dilaporkan, sejumlah 801 individu daripada 162 keluarga terjejas akibat banjir itu telah dipindahkan ke Dewan MPAJ sejak malam tadi.

Mengenai kemungkinan pampasan kepada mangsa banjir itu, Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, perbincangan akan dilaksanakan terlebih dahulu bersama pihak yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya itu sekiranya terdapat kerosakan teruk pada lokasi yang terjejas.

“Itu kita akan bincang kemudian sekiranya ada yang cukup terjejas atau secara penuh (teruk). Seperti infrastruktur awam, ada jambatan yang roboh dan mungkin itu kita boleh lihatkan (bincang). Mungkin pihak terlibat (dengan pembinaan) lebuh raya boleh memberi sumbangan untuk pembinaan semula,” katanya.

Selain itu, Zuraida berkata, kerja-kerja pembersihan saliran akan dilaksanakan secepat mungkin dengan kerjasama pelbagai agensi terutamanya pihak MPAJ serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) agar mangsa boleh pulang ke rumah dengan selamat dan perkara ini tidak berulang.

Beliau turut memaklumkan bahawa bantuan keperluan asas dan kerja-kerja pembersihan juga akan diberikan kepada mangsa banjir yang terjejas di kawasan berkenaan.

“Saya lihat di sini (pusat pemindahan) agak panas kerana beratapkan zink dan saya akan membeli kipas untuk setiap unit yang ada di sini (pusat pemindahan banjir).

“Petugas-petugas kita ada, kita akan lihat satu per satu (rumah yang terjejas) dan bersihkan kawasan, kita lihat apa kekurangan dan insya-Allah kita akan bantu,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button