Berita Utama

Gelombang keempat COVID-19 mungkin berlaku selepas PRN Melaka

Trend penularan kini dipantau dalam tempoh 14 hari

BANGI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Kerajaan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan gelombang keempat penularan COVID-19 susulan beberapa kelonggaran diberi termasuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, trend penularan kini dipantau dalam tempoh 14 hari selepas PRN dan pihaknya bersiap sedia untuk menghadapi gelombang baharu.

“Kerajaan sememangnya sedar mengenai kemungkinan ia berlaku berdasarkan pengalaman daripada PRN Sabah. Kita juga khuatir dengan PRN Melaka dan sebab itu SOP ketat dilaksanakan termasuk larangan kempen secara besar-besaran.

“Benar, kes jangkitan akan dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 14 hari lagi selepas PRN Melaka.

“Kita sedang pantau keadaan ini dan kerajaan tahu dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan gelombang keempat. Ini yang kita amat khuatir, terutama apabila PRN Sarawak juga akan diadakan,” katanya seperti dilapor portal media hari ini.

Beliau menjawab persoalan tambahan Dr Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) yang meminta kerajaan menjelaskan perancangan bagi menghadapi jangkaan peningkatan mendadak kes COVID-19.

Ini terutamanya apabila pakar menjangkakan ia akan berlaku pada Disember dengan mengambil kira trend peningkatan termasuk di Lembah Klang serta kesan penularan selepas PRN Melaka.

Aaron Ago berkata, SOP ketat perlu dilaksanakan untuk mengekang penularan COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button