Turki dalam krisis, Lira cecah rekod terendah
Mata wang jatuh selepas Erdogan pertahan langkah pemotongan kadar faedah

ANKARA, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Lira Turki mencecah paras terendah 12.49 berbanding dolar AS selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan mempertahankan langkah pemotongan kadar mendadak baru-baru ini.
Mata wang Turki jatuh sebanyak lapan peratus pada Selasa.
Lira kehilangan 40 peratus daripada nilainya tahun ini, termasuk jatuh hampir 20 peratus sejak awal minggu lalu.
Berbanding euro, mata wang itu lemah kepada rekod rendah baru 13.4035.
Kadar yang lebih rendah akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan, kata Erdogan pada Isnin di ibu negara, Ankara.
Erdogan memberi tekanan ke atas bank pusat untuk beralih kepada kitaran pelonggaran yang agresif bertujuan untuk meningkatkan eksport, pelaburan dan pekerjaan – walaupun ketika inflasi melonjak hampir 20 peratus dan susut nilai mata wang semakin pantas.
Presiden Turki juga mempertahankan teori yang tidak lazim bahawa kadar faedah yang lebih tinggi menyebabkan inflasi lebih tinggi.
Kebanyakan ahli ekonomi bagaimanapun berpendapat, Turki menghadapi krisis besar – termasuk inflasi yang tinggi – sekiranya kadar terus menurun dalam beberapa bulan akan datang.
Di bawah tekanan Erdogan, bank pusat mengurangkan kadar faedah utama daripada 19 kepada 15 peratus pada September, memacu kejatuhan bebas dalam lira.
Erdogan telah menggantikan tiga gabenor bank pusat dalam tempoh dua tahun lalu sekali gus menjejaskan keyakinan pelabur. – Agensi