Berita Utama

BN usah terlalu mendongak langit dengan kemenangan PRN Melaka

Undi popular BN tak jauh daripada PH, calon ‘heavyweight’ pun menang nyawa-nyawa ikan

BANGI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Barisan Nasional (BN) diingatkan untuk tidak terlalu mendongak langit dan berpuas hati dengan kemenangannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

Setiausaha Agung Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, ini kerana terdapat lima fakta yang sebenarnya tidak menyebelahi BN kali ini.

Pertama sekali, katanya, walaupun BN memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada jumlah 28 kerusi (75 peratus), undi popular menunjukkan BN hanya mendapat 38.39 peratus sokongan (122,741 undi).

Jumlah itu tidak jauh dengan Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 35.80 peratus (114,457 undi).

“BN menang besar kerana telah sekian lama pembahagian DUN Melaka memecahkan kawasan kampung majoriti Melayu kepada beberapa DUN yang kecil (kubu kuat BN).

“Manakala DUN di kawasan bandar yang didominasi DAP dibiarkan besar supaya bilangan kerusi sedikit (Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lukman berkata, undi popular penting sebagai petunjuk sokongan dan sentimen rakyat secara keseluruhan tanpa dipisahkan oleh sempadan DUN mahupun Parlimen.

“Sejarah merekodkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) walaupun BN menang dan berjaya membentuk kerajaan, tapi undi popular dimenangi oleh PH dengan 50.9 peratus.

“Undi popular ketika itu ialah simptom awal kemerosotan sokongan terhadap BN yang akhirnya membawa kepada kejatuhan lima tahun kemudian, tapi BN mungkin tak perasan (atau buat-buat tak perasan),” katanya.

Lukman berkata, fakta kedua adalah DAP mendapat majoriti yang amat besar di kesemua DUN yang dimenangi iaitu Kota Laksamana (11,494), Kesidang (10,237), Bandar Hilir (7,778) dan Ayer Keroh (5,624). 

Bahkan, ini adalah senarai empat DUN dengan majoriti tertinggi dalam PRN kali ini.

Sementara fakta ketiga, beliau berkata, BN sebaliknya hanya menang tipis di beberapa DUN seperti Serkam (79 majoriti), Pengkalan Batu (131 majoriti), Duyong (200 majoriti) dan Tanjung Bidara (364 majoriti). 

“Malah majoriti DUN yang dimenangi BN adalah dengan majoriti bawah 1,000,” katanya.

Keempat, kata Lukman, hakikat yang menakutkan juga ialah kemenangan Pengerusi BN Melaka, Datuk Ab Rauf Yusoh di Tanjung Bidara hanyalah sebuah kemenangan ‘nyawa-nyawa ikan’.

“Menang hanya dengan 364 majoriti walaupun beliau orang nombor satu BN dan bersaing dengan calon PN yang terkenal sebagai katak politik.

“Begitu juga kekalahan calon BN di Sungai Udang, Datuk Seri Mohammad Ali yang merupakan Timbalan Pengerusi UMNO Melaka dan juga Ahli Dewan Negara kepada calon tidak ternama PN. 

“Jangan kita lupa, Sungai Udang ialah kawasan kem tentera dengan ribuan undi pos yang sepatutnya dimenangi BN dengan mudah,” katanya.

Melihat situasi itu, Lukman menyarankan BN melakukan pascanilai yang teliti berkenaan kekalahan dan kemenangan tipis calon-calon ‘heavyweight’ mereka di dua DUN ini.

“Akhirnya, peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 65.85 peratus. Saya tidak ada data tepat, tapi kajian menunjukkan majoriti yang tidak keluar mengundi kali ini ialah anak-anak muda terutama di luar kawasan.

“Jumlah mereka yang melebihi 100,000 ini adalah sangat besar. Jika kita mengandaikan majoriti golongan muda ini cenderung kepada PH, keputusan PRN Melaka mungkin berubah secara drastik jika hanya separuh dari jumlah ini membuat keputusan untuk mengundi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button