Berita UtamaDunia

India tak pertimbang beri dos penggalak vaksin COVID-19

Kerajaan nyatakan dua dos sudah mencukupi setakat ini

NEW DELHI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – India tidak mempertimbangkan untuk memberikan dos penggalak COVID-19 kerana kerajaan percaya dua dos vaksin sudah menawarkan perlindungan yang mencukupi buat masa ini, kata tiga sumber yang mengetahui perkara itu.

Terdahulu, memandangkan bekalan vaksin telah meningkat, beberapa doktor dan pakar kesihatan awam di India telah menggesa kerajaan untuk memulakan program penggalak bagi golongan yang paling terdedah seperti yang dilakukan oleh kebanyakan negara Barat.

Tetapi pihak berkuasa sebaliknya akan menumpukan kepada seramai 944 juta orang dewasa India melengkapkan vaksinasi dua dos menjelang Januari sebelum mengalihkan tumpuan mereka kepada pengembangan besar dalam eksport, kata sumber yang terlibat dalam perbincangan dasar vaksin.

Setakat ini, 81 peratus orang dewasa India telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 43 peratus lagi lengkap dua dos.  

Sementara vaksinasi untuk remaja di bawah 18 tahun belum bermula.

“Keutamaan adalah untuk memvaksin sepenuhnya populasi dewasa,” kata salah satu sumber. 

Sumber itu enggan dinamakan kerana perkara berkenaan masih dibincangkan oleh pembuat dasar.

“Majoriti besar telah dijangkiti secara semula jadi, dan bagi mereka dua dos sudah mencukupi. Itulah sebabnya kita melihat bahawa walaupun selepas perayaan baru-baru ini, kes tidak meningkat,” katanya lagi.

Sumber itu berkata bahawa apabila kebanyakan orang dewasa mempunyai dua dos vaksin, kerajaan boleh menjadikan penggalak sebagai pilihan.

Kementerian Kesihatan bagaimanapun tidak menjawab permintaan untuk komen.

India melaporkan angka kes dan kematian COVID-19 paling banyak di dunia pada bulan April serta Mei, malah tinjauan kerajaan menunjukkan bahawa hampir 70 peratus rakyat India dijangkiti secara semula jadi menjelang Julai.  

Negara itu setakat ini mencatatkan 34.5 juta jangkitan – paling banyak selepas Amerika Syarikat – dengan lebih 465,000 kematian. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button