Berita Utama

Jalan Tapah-Cameron Highlands ditutup akibat tanah runtuh

Pengguna yang hendak ke tanah tinggi dinasihat guna jalan alternatif

IPOH, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Jalan Tapah-Cameron Highlands kini ditutup sepenuhnya bermula hari ini sehingga selesai kerja membersihkan runtuhan tanah yang berlaku semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, papan tanda penutupan jalan telah diletakkan di Batu 4 Jalan Pahang dan pengguna yang hendak ke tanah tinggi itu dinasihatkan menggunakan jalan alternatif.

“Bagaimanapun, bagi penduduk yang tinggal di sepanjang jalan sehingga ke Batu 20 masih boleh menggunakan jalan berkenaan, namun dinasihatkan agar berhati-hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Laluan FT 059 Jalan Tapah – Cameron Highlands di Seksyen 62.65 ditutup sementara bermula hari ini bagi kerja-kerja kecemasan akibat tanah runtuh yang berlaku petang semalam.

Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Cameron Highlands dalam satu kenyataan, laluan tersebut ditutup kepada semua kenderaan sehingga tempoh yang akan dimaklumkan kelak.

“Kerja-kerja kecemasan sedang giat dijalankan dan penutupan sementara laluan tersebut adalah perlu demi keselamatan serta keselesaan pengguna pada masa hadapan. Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan mematuhi arahan yang dikeluarkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” menurut kenyataan itu.

Semalam, kejadian tanah runtuh berlaku di laluan di Batu 25 dan Batu 26 Jalan Tapah-Cameron Highlands menyebabkan laluan kedua-dua arah terhalang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button