Kes makin meningkat, tak wajar PRU15 disegerakan
Pemimpin parti pun langgar SOP untuk berkempen, bagaimana nak jamin keadaan terjaga jika PRU seluruh negara?

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Kuala Lumpur, Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan sama sekali tidak bersetuju jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipercepatkan pelaksanaannya.
Menyifatkan ia tidak wajar, beliau menegaskan fakta bahawa kes COVID-19 kini semakin meningkat susulan kebenaran merentas negeri sejak lima minggu lalu, tidak boleh dipandang remeh.
“Peningkatan kes COVID-19 selepas lebih kurang lima minggu kebenaran rentas negeri dilaksanakan dapat disaksikan. Hampir keseluruhan negeri mempunyai kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 sekitar dan melebihi 1.0.
“Kita juga masih belum melihat kesan PRN Melaka terhadap kes COVID-19, yang mungkin akan muncul selepas dua hingga empat minggu kemudian,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Muslim yang juga Yang Di-Pertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Damansara berkata, walaupun terdapat penetapan prosedur operasi standard (SOP) pada PRN Melaka, tidak dapat dinafikan masih ada pemimpin parti yang melanggarnya untuk berkempen.
“Bagaimana mereka boleh menjamin SOP akan terjaga dengan berlangsungnya PRU di seluruh negara?” soalnya.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Muslim berkata, walaupun peratusan vaksinasi COVID-19 sudanh mencapai hampir 100 peratus, tetapi negara masih menyaksikan kenaikan kes disebabkan faktor SOP yang semakin tidak diikuti, virus varian semakin banyak dan kesan imuniti semakin berkurang.
“Kita perlu terus menjaga SOP, teruskan lengkapkan vaksinasi, booster kepada golongan berisiko,” katanya.
Manakala kelonggaran SOP dan pelaksanaan aktiviti melibatkan bilangan yang ramai perlu dilakukan secara berfasa dan tidak terburu-buru.
“Sepatutnya kita utamakan kestabilan ekonomi negara di samping mengekang penularan COVID-19. Negara sudah tidak mampu menanggung gelombang seterusnya sekiranya berlaku dalam keadaan ekonomi baru menapak.
“Apakah pertimbangan-pertimbangan ini diambil kira ketika mencadangkan tarikh PRU15.
“Adakah ‘mandat rakyat’ itu sesuatu yang pasti akan membawa keuntungan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia atau hanya untuk kelompok tertentu sahaja?,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berhasrat untuk berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi menyatakan pandangan supaya PRU15 disegerakan.
Gesaan PRU15 diadakan dalam masa terdekat berikutan momentum Barisan Nasional (BN) yang baik ketika ini selepas meraih kemenangan dua pertiga pada PRN Melaka.