Berita Utama

KPM nafi keluar senarai larangan hukuman disiplin

'Portal itu letak gambar seolah saya yang keluarkan kenyataan'

BANGI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin menafikan bahawa ada mengeluarkan jadual berkaitan hukuman tindakan disiplin yang dilarang dilakukan kepada murid.

Beliau berkata, pihaknya tidak pernah membuat kenyataan berkaitan bentuk hukuman terhadap pelajar sekolah.

“Saya langsung tidak pernah membuat kenyataan sedemikian. Portal itu meletakkan gambar saya seolah-olah saya yang keluarkan kenyataan tersebut.

“KPM juga tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk ‘Unit Disiplin KPM: Bentuk-bentuk Hukuman Yang Dilarang’ dalam mana-mana dokumen rasmi KPM.

“Sama-sama kita semak kesahihan sesuatu berita sebelum menyebarkannya” katanya di media sosial beliau hari ini.

Sementara itu, KPM dalam kenyataannya memaklumkan, tindakan disiplin hanya boleh dikenakan mengikut tatacara pengurusan disiplin dikeluarkan pihaknya seperti:

i. Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959;

ii. Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran;

iii. SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah;

iv. SPI Bil. 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin;

v. SPI Bil. 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan

vi. SPI Bil. 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.

“Sehubungan dengan itu, KPM menegaskan bahawa tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan di atas.

“KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai bentuk hukuman yang dilarang dilakukan terhadap fizikal, mental dan emosi pelajar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button