Berita Utama

Padicares bantu jana pengeluaran padi 10 tan per hektar

Sedia kerjasama dengan MOSTI dan MAFI demi sekuriti makanan negara

BANGI, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Padicares mampu membantu ke arah purata hasil pengeluaran padi 10 tan per hektar menjelang 2025 seperti yang disasarkan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Jurucakapnya, Ts Ahnaf Ab Qais berkata, PadiCares berkeupayaan menjangka keberhasilan padi negara berpandukan data tepat ekosistem padi.

Kepentingan data bagi ekosistem penanaman padi sangat memberi impak kepada perancangan bekalan beras negara.

“Kini, dengan perubahan iklim (climate change) mempercepatkan lagi keperluan kepada satu platform yang bertindak sebagai sistem sokongan yang dinamik kepada pengeluaran padi.

“Ekosistem penanaman padi ini melibatkan data komponen seperti pengairan, kesuburan tanah, ramalan cuaca, perosak serta penyakit.

“Namun, menurut kajian, purata hasil susut daripada 6.42 tan per hektar pada tahun 2014 kepada 5.33 tan per hektar pada tahun 2017 di sebahagian besar kawasan jelapang tanah air,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara punca utama adalah faktor cuaca yang tidak menentu serta serangan penyakit baru seperti hawar bulir bakteria (BPB).

“Melalui platform Padicares, data-data komponen diproses bagi mengenal pasti paten cuaca seawal 100 hari sebelum jadual penanaman bagi membantu pihak berkuasa membuat perancangan dengan lebih baik.

“Sepanjang tempoh penanaman pula, Padicares membantu pesawah menjalankan tugas mengikut piawai bagi memastikan hasil yang disasarkan dapat dicapai melalui senarai semak dinamik dan sistem amaran awal sebelum ancaman perosak atau penyakit tular,” katanya.

Justeru, kerajaan dan pihak berwajib dapat merancang lebih rapi mengikut keperluan berasaskan data (data-driven) berdasarkan sasaran hasil setiap musim, pengurusan bencana, pengurusan pembajaan dan racun secara tepat mengikut keperluan tanaman serta pengurusan perosak dan penyakit.

“Padicares sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pihak Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

“Ini bagi mematangkan platform ini supaya ia dapat dimanfaatkan dengan lebih menyeluruh ke seluruh negara demi sekuriti makanan negara,” katanya.

Padicares merupakan solusi yang amat selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2.0 iaitu ke arah negara berpertanian pintar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button