Plaintif selesai kemuka hujah di mahkamah sekolah vernakular bercanggah Perlembagaan
Pendengaran dan bicara kes bakal berlangsung beberapa hari lagi
SEPERTI yang diketahui umum, hari ini merupakan hari pendengaran bagi Kes Keabsahan Kedudukan Sekolah Vernakular di sisi Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Hari ini sebagai sebahagian dari pihak-pihak plaintif, kita telah mengemukakan hujahan-hujahan bahawa sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia, di hadapan hakim.
Melalui para peguam, kita telah merumuskan seperti berikut (dengan hujahan-hujahan yang terperinci) dan telahpun dikemukakan di mahkamah pada hari ini:
1. Seksyen 2, 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) adalah bercanggah dengan Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan.
2. Penubuhan dan kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah dengan Perkara-Perkara 5, 8, 10, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan.
3. Plaintif-Plaintif mempunyai locus standi bagi memfailkan tindakan (mahkamah) ini.
4. Mahkamah wajar mengadili dasar dan polisi Defendan Kedua (Kementerian Pendidikan Malaysia) berhubung sistem pendidikan nasional.
Untuk pengetahuan anda juga, pendengaran dan bicara kes ini bakal berlangsung untuk beberapa hari lagi termasuk untuk mendengar dan menilai segala hujahan dari pihak defendan.
Kita doakan yang terbaik demi kesejahteraan dan kemakmuran tanah air yang tercinta serta generasi anak bangsa akan datang.
Haji Aminuddin Yahaya
Pengerusi PEMBELA
23 November 2021