Berita Utama

SUV rempuh perarakan di Wisconsin korbankan 5 nyawa, 48 cedera

Suspek dipercayai alami pergaduhan rumah tangga sebelum rempuhan

WISCONSIN, 18 Rabiulakhir 1443H, Selasa – Sekurang-kurangnya lima terbunuh, manakala 48 cedera dalam kejadian rempuhan kereta di Wisconsin, Amerika Syarikat (AS).

Insiden itu berlaku sekitar jam 4.39 petang (22:39 GMT) pada Ahad di Waukesha, kira-kira 32 kilometer (20 batu) barat Milwaukee.

Polis telah mengenal pasti suspek yang dituduh merempuh perarakan Krismas di Waukesha, Wisconsin, sebagai Darrell E Brooks, 39 tahun.

Pada sidang akhbar pada hari Isnin, Ketua Polis Waukesha, Dan Thompson berkata, pihak berkuasa tidak mempunyai bukti untuk menunjukkan bahawa insiden Ahad itu adalah serangan ‘pengganas’.

Suspek difahamkan sengaja memandu SUV berwarna merah tua merempuh penghadang ke arah sekumpulan orang, katanya kepada pemberita.

“Kami mempunyai maklumat bahawa suspek, sebelum kejadian, terlibat dalam pergaduhan rumah tangga – yang hanya beberapa minit sebelum itu – dan suspek meninggalkan tempat kejadian sejurus sebelum ketibaan kami,” katanya.

Thompson menamakan lima mangsa yang maut dalam kejadian itu – empat wanita dan seorang lelaki berusia antara 52 dan 81 tahun – dan berkata 48 orang turut cedera, termasuk dua kanak-kanak yang berada dalam keadaan kritikal.

Beliau berkata, pihak berkuasa percaya suspek bertindak bersendirian, tetapi siasatan terhadap kemungkinan motif masih diteruskan.  

Polis akan mengesyorkan lima pertuduhan ‘membunuh dengan sengaja’ terhadapnya, kata Thompson.

“Kami boleh memberitahu anda bahawa siasatan tidak menunjukkan bahawa terdapat sebarang jenis keganasan domestik atau antarabangsa,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button