Berita UtamaDunia

Afrika Barat, Tengah miliki askar kanak-kanak paling banyak di dunia

Ribuan mereka terdedah dengan keganasan seksual

NEW YORK, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Afrika Barat dan Tengah adalah wilayah yang mempunyai bilangan askar kanak-kanak tertinggi di dunia, serta paling banyak mangsa keganasan seksual bawah umur, menurut laporan terbaharu oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sejak 2016, wilayah itu dilanda konflik yang semakin meningkat di mana lebih 21,000 kanak-kanak telah direkrut oleh tentera kerajaan dan kumpulan bersenjata, kata laporan itu, semalam.

Selain itu, lebih 2,200 kanak-kanak telah disahkan sebagai mangsa keganasan seksual dalam tempoh lima tahun lalu, tambahnya.  

Sementara itu, kira-kira 3,500 kanak-kanak telah diculik, menjadikannya wilayah dengan penculikan kedua tertinggi di dunia, manakala terdapat sekurang-kurangnya 1,500 serangan ke atas sekolah dan hospital.

Secara keseluruhan, agensi kanak-kanak PBB berkata, lebih 57 juta kanak-kanak di rantau itu memerlukan bantuan kemanusiaan, jumlah yang meningkat dua kali ganda sejak tahun lalu akibat konflik dan pandemik COVID-19.

“Sama ada kanak-kanak di Afrika Barat dan Tengah menjadi sasaran langsung atau mangsa cagaran, mereka terperangkap dalam konflik dan menghadapi keganasan dan rasa tidak selamat.

“Pelanggaran berat hak mereka yang dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam konflik adalah tidak boleh diterima. Mereka mempunyai kesan buruk terhadap kapasiti mereka untuk belajar, bekerja, membina hubungan bermakna dan menyumbang kepada pembangunan komuniti dan negara mereka,” kata Pengarah wilayah UNICEF untuk Afrika Barat dan Tengah, Marie-Pierre Poirier.

Sejak 2005, apabila PBB menubuhkan sistem untuk memantau dan melaporkan pelanggaran serius terhadap kanak-kanak, seperti pengambilan, penculikan, rogol dan serangan ke atas sekolah serta hospital, satu daripada empat pelanggaran di seluruh dunia dilakukan di Afrika Barat dan Tengah, kata laporan itu.

Di negara-negara yang dilanda konflik seperti Burkina Faso, Republik Afrika Tengah, Cameroon, Chad, Congo, Mali, Mauritania dan Niger, keganasan telah membawa kesan kemanusiaan yang dahsyat kepada kanak-kanak serta masyarakat, dan wabak itu memburukkan lagi keadaan, kata PBB. 

Kanak-kanak yang dikaitkan dengan kumpulan bersenjata sering terdedah kepada ‘tahap keganasan yang tidak dapat ditanggung’ dan pengambilan mereka boleh didahului dan diikuti dengan pelanggaran lain seperti penculikan, keganasan seksual serta pembunuhan dan mencacatkan kanak-kanak.

PBB menyeru pihak-pihak yang terlibat dalam konflik untuk mencegah dan menamatkan pencabulan terhadap kanak-kanak dan agar pelakunya bertanggungjawab.  

Ia juga menggesa kumpulan bantuan untuk meningkatkan dokumentasi pelanggaran dan berusaha untuk mencegah dan bertindak balas terhadapnya.

UNICEF berkata, ia memerlukan lebih daripada AS$92 juta untuk melindungi kanak-kanak dalam kecemasan di seluruh Afrika Barat dan Tengah, lebih separuh daripadanya belum dibiayai. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button