Uncategorized

Johor bentang SOP solat jemaah di masjid, surau tanpa penjarakan sosial

Cadangan akan dipersembahkan kepada Sultan Johor sebelum dilaksana

ISKANDAR PUTERI, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Johor akan membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) dalam masa terdekat bagi membolehkan solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini dilakukan tanpa penjarakan sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kertas cadangan itu kemudiannya akan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, bagi mendapatkan perkenan baginda.

Beliau akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama Jawatankuasa Dakwah Negeri Johor dan Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Negeri Johor, minggu depan bagi melengkapkan kertas cadangan itu.

“Ramai anggota masyarakat Islam di Johor menimbulkan persoalan bila solat jemaah di masjid dan surau di negeri ini akan kembali seperti sedia kala, tanpa penjarakan sosial, selepas Johor memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Oleh itu, minggu hadapan kita akan perincikan kertas cadangan SOP baharu solat jemaah di masjid dan surau Johor sebelum dipersembahkan kepada Sultan Johor,” katanya pada Sidang Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang ke-14, hari ini.

Tosrin menambah, dua cadangan akan dimasukkan dalam kertas cadangan itu iaitu solat jemaah dengan kapasiti penuh di masjid/surau tanpa penjarakan sosial dan kedua, solat jemaah dengan kapasiti penuh dengan penjarakan sosial.

“Kita juga akan mendapatkan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mempersembahkan kedua-dua cadangan itu kepada Sultan Ibrahim.

“InsyaAllah, awal Januari ini, Johor akan mulakan tatacara SOP baharu solat berjemaah baharu, dan diharapkan cadangan solat jemaah tanpa penjarakan sosial akan dibenarkan MKN dan diperkenan Sultan Johor,” katanya.

Bermula Oktober lalu, Johor membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau negeri ini mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada 13 Oktober lalu itu, Johor turut membenarkan solat fardu lima waktu dan solat jenazah mengikut kapasiti satu pertiga ruangan solat masjid dan surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button