Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Jumlah kes keracunan catat penurunan 57 peratus tahun ini

Kementerian akan terus tingkat pemantauan makanan, bahan mentah di pasaran tempatan

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Jumlah kes keracunan makanan di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 57 peratus tahun ini (sehingga September) kepada 123 kes, berbanding 288 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, walaupun keadaan terkawal, kementerian akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti promosi dan intervensi bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan serta mencegah keracunan makanan bagi melindungi rakyat.

“Keselamatan makanan adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Produktiviti boleh ditingkatkan melalui penghasilan makanan yang selamat dan berkualiti melalui usaha berterusan yang dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan bagi memastikan makanan yang dihasilkan selamat untuk rakyat,” katanya seperti dilapor NST, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pertandingan Pasar Bersih dan Selamat, yang diadakan sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia.

Khairy berkata, kementerian melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan bertanggungjawab memastikan makanan serta bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturannya.

Beliau berkata, berdasarkan aktiviti pemantauan kementerian, lebih 45,000 sampel makanan dan bahan mentah termasuk daging, ikan, sayur-sayuran serta buah-buahan dari pasaran tempatan dianalisis sejak 2018 hingga Ogos tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 5.9 peratus (atau 2,654 sampel) didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Kementerian akan terus meningkatkan pemantauan makanan dan bahan mentah di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan kedua-dua akta,” katanya.

Sementara itu, mengenai Pertandingan Pasar Bersih dan Selamat yang diadakan di seluruh negara, Khairy berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga pasar tentang kepentingan amalan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Ia juga bagi memberi pengiktirafan kepada pengurusan pasar kerana berjaya memastikan kebersihan dan keselamatan makanan terbaik di pasaran masing-masing.

“Pelbagai sumber pencemaran seperti mikroorganisma, bahan kimia dan fizikal boleh berlaku di pasaran, berikutan sebarang salah guna bahan mentah dan makanan.

“Justeru, pihak yang bertanggungjawab perlu sentiasa memastikan kebersihan bahan mentah dan makanan yang dijual kepada orang ramai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button