Berita UtamaDunia

Kematian COVID-19 di Eropah boleh cecah 2.2 juta pada musim sejuk

Tekanan tinggi dijangka berlaku di ICU hingga 1 Mac 2022

GENEVA, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa Eropah akan kekal ‘dicengkam kuat’ oleh wabak coronavirus dan angka kematian di benua itu boleh mencecah 2.2 juta pada musim sejuk ini jika trend semasa berterusan.

Seramai 700,000 lagi rakyat Eropah boleh mati menjelang 1 Mac, kata WHO pada hari Selasa, sebagai tambahan kepada 1.5 juta yang telah meninggal dunia akibat virus itu.

Ia menjangkakan tekanan tinggi atau melampau dalam unit rawatan rapi (ICU) di 49 daripada 53 negara antara sekarang hingga 1 Mac 2022.

Kembalinya Eropah sebagai pusat wabak itu telah dipersalahkan ke atas pengambilan vaksin yang lembap di beberapa negara, varian Delta yang sangat menular, cuaca lebih sejuk memaksa orang berkurung ke dalam rumah semula dan pelonggaran sekatan.

Lonjakan itu telah menyaksikan Austria kembali berkurung minggu ini, manakala Jerman dan Belanda bersedia untuk mengumumkan sekatan baharu.

Di Kesatuan Eropah (EU), 67.7 peratus daripada populasi telah diberi vaksin sepenuhnya.

Tetapi kadar itu berbeza secara meluas antara negara, dengan paras terendah di banyak negara timur. 

Hanya 24.2 peratus rakyat Bulgaria diberi vaksin sepenuhnya, berbanding 86.7 peratus di Portugal.

Menurut data WHO, kematian berkaitan COVID-19 di 53 negara di rantau Eropah meningkat minggu lalu kepada hampir 4,200 sehari, meningkat dua kali ganda daripada 2,100 kematian sehari pada akhir September.

Ia berkata, bukti semakin berkembang bahawa perlindungan yang disebabkan oleh vaksin terhadap jangkitan dan penyakit ringan semakin berkurangan.

Beberapa negara, termasuk Greece, Perancis dan Jerman, sedang bergerak ke arah memerlukan suntikan ketiga bagi seseorang individu untuk menganggap dia telah divaksin sepenuhnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button