Berita Utama

Malaysia perlu kontrak sosial baharu realisasi matlamat negara: Ahli ekonomi

Perlu memastikan peluang sama rata untuk semua rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Malaysia memerlukan kontrak sosial baharu melibatkan penduduk untuk merealisasikan matlamat status negara berpendapatan tinggi dan maju berikutan ketaksamaan yang berterusan menjadi isu serius di negara ini, kata Dr Kenneth Simler.

Bekas Ahli Ekonomi Kanan di Hab Pengetahuan dan Penyelidikan Global Bank Dunia itu berkata sumber yang lebih besar perlu dilaburkan untuk membina modal insan berkualiti tinggi dan memudahkan peluang ekonomi yang lebih baik, terutamanya untuk wanita.

“Kontrak sosial baharu itu perlu memastikan peluang sama rata untuk semua rakyat Malaysia, menyediakan mobiliti dan insentif untuk kekal dan melabur di Malaysia,” katanya pada International Social Wellbeing Conference 2021 (ISWC 2021) yang diadakan secara maya hari ini.

Beliau berkata ketaksamaan telah menghalang kemajuan pembangunan Malaysia dan mempunyai impak untuk mereka yang berada di peringkat bawah struktur sosio-ekonomi.

Katanya terdapat kebimbangan mengenai peningkatan ketaksamaan pendapatan mutlak di Malaysia yang telah meningkat dengan pesat selama beberapa dekad.

“Bagaimanapun, ini adalah normal dalam ekonomi yang berkembang dan tidak perlu menjadi kebimbangan jika ketaksamaan relatif semakin berkurangan.

“Ketaksamaan pendapatan relatif semakin berkurangan, walaupun tidak sekata. Ini bermakna kumpulan berpendapatan rendah daripada pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) mendapat bahagian yang semakin meningkat daripada jumlah pendapatan dalam ekonomi yang berkembang,” katanya sambil menambah ketaksamaan pendapatan relatif yang semakin meningkat merupakan ancaman serius terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan pembangunan negara.

Simler berkata kontrak sosial adalah laluan dua hala, yang bukan sahaja mengenai apa yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat tetapi juga sumbangan rakyat untuk menjadikan sistem itu berfungsi.

Pembaharuan generasi kedua untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan sektor swasta yang diterajui inovasi akan turut diperlukan, selain dasar untuk menggalakkan pembangunan kemahiran dan tenaga kerja, katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor awam Malaysia perlu beroperasi pada tahap keterbukaan dan ketelusan yang lebih tinggi.

“Kerajaan juga perlu menjana pendapatan awam yang lebih baik dan menggunakannya dengan lebih berkesan dan lebih progresif, serta menggunakan sumber ini dengan lebih cekap terutamanya untuk memenuhi keperluan golongan yang paling kurang bernasib baik,” katanya.

Simler berkata di bawah kontrak sosial, kerajaan bertindak untuk memenuhi keperluan penduduk dengan cara yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab dengan melabur dalam modal insan, mengawal selia secara bijak dan menguatkuasakan peraturan dengan lebih seragam, pada masa sama mengekalkan kestabilan makroekonomi.

Dalam pada itu, katanya rakyat perlu dapat melaksanakan hak mereka untuk memastikan akauntabiliti kerajaan dan pada masa sama, menerima prinsip bahawa semua rakyat perlu mendapat layanan sama rata dan membayar lebih banyak cukai sebagai pulangan untuk manfaat yang lebih besar yang mereka terima. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button