Berita Utama

Serbuan pekerja asing di Nilai ikut SOP: Imigresen

Beberapa PATI bertindak agresif mengelak ditangkap

BANGI, 16 Rejab 1444H, Selasa – Operasi dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Nilai Spring, Negeri Sembilan, 1 Februari lalu diadakan secara teratur dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan dilaksanakan di kawasan dikenal pasti sebagai penempatan haram warga asing.

Operasi itu dibuat selepas mendapat aduan daripada orang awam yang bimbang akan keselamatan penduduk setempat serta hasil risikan yang dilaksanakan oleh pihak JIM selama sebulan.

“Dalam operasi yang dilaksanakan, seramai 68 individu warga Indonesia diperiksa dan 67 orang yang berusia di antara dua bulan hingga 72 tahun, terdiri daripada 11 lelaki, 20 wanita 20 kanak-kanak lelaki dan 16 kanak-kanak perempuan ditahan.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti dalam serbuan itu ialah ketiadaan dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Ketika operasi dijalankan, pihak JIM turut menjumpai beberapa senjata tajam seperti lembing dan parang serta ada cubaan beberapa pendatang tanpa izin (PATI) untuk meloloskan diri daripada ditahan.

“Malah ada yang cuba bertindak agresif bagi mengelak daripada ditangkap, namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi JIM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada penyiaran sebuah portal bertarikh 4 Februari lalu menyatakan Suruhanjaya Indonesia (Komisi Nasional Hak Asasi Manusia/Komnas HAM) mengecam serbuan terhadap pekerja asing yang dilakukan Imigresen di kawasan berkenaan.

Khairul Dzaimee berkata, semua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan, didapati mereka yang ditahan tidak berniat untuk pulang ke negara asal, sebaliknya ingin terus berada di sini dalam tempoh yang panjang walaupun tanpa dokumen yang sah.

Ia berdasarkan dapatan seperti penempatan itu merupakan sebuah perkampungan yang telah lama wujud di dalam hutan dan berada di kawasan yang tidak rata dan berpaya.

“Akses ke kawasan itu juga hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki sejauh 1.2 kilometer yang dikelilingi besi serpihan jerat serta anjing liar dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti beberapa unit generator dan sekolah yang menggunakan silibus pendidikan negara jiran,” katanya.

Khairul Dzaimee menjelaskan bahawa operasi penguatkuasaan itu tidak berkait dengan pelaksanaan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) yang bermula pada 27 Januari lalu.

Menurutnya, RTK 2.0 ini antara lain bertujuan memastikan warga asing yang berada dan bekerja dalam negara secara tidak sah diregularisasi untuk bekerja secara sah.

Katanya, pelaksanaan RTK 2.0 ini merupakan strategi serampang dua mata iaitu untuk memenuhi keperluan tenaga kerja dalam negara serta menguatkuasakan undang-undang Imgresen.

“Dalam hal ini, PATI sepatutnya mengambil peluang menyertai program RTK 2.0 ini untuk terus berada di Malaysia secara sah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairul Dzaimee memaklumkan, aspek kebajikan tahanan di depot juga sentiasa terpelihara dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.

“Kemasukan dan keberadaan warga asing di negara ini, adalah tertakluk kepada dasar, peraturan dan perundangan yang berkuat kuasa, termasuk keperluan memiliki dokumen perjalanan yang sah serta mematuhi tempoh keberadaan yang dibenarkan serta pematuhan kepada syarat pas yang dikeluarkan.

“JIM akan sentiasa komited memastikan perkara ini dilaksanakan dengan teratur bagi memastikan elemen keselamatan dan kedaulatan negara tidak terancam dan dikompromi.

“JIM sedang mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan proses penghantaran pulang tahanan ke negara asal dilaksanakan pada kadar segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button