Dunia

Wartawan, aktivis Palestin lancar kempen protes Facebook

Kecam tindakan sekat, tapis laman media pro-Palestin

RAMALLAH, 19 Rabiulakhir 1443H, Rabu – Wartawan dan aktivis Palestin melancarkan kempen bagi menyuarakan pendapat serta menolak tindakan syarikat gergasi media sosial, Meta yang masih menapis kandungan pro-Palestin di platform Facebook.

Kempen yang dinamakan sebagai ‘Facebook Sekat Baitulmaqdis’ itu dilancarkan selepas tindakan besar-besaran Meta menyekat dan mengehadkan laman Facebook milik media Palestin serta ribuan akaun peribadi rakyat termasuk wartawan dari negara itu.

Pusat Sosial Sada dalam kenyataan berkata, tindakan itu menyasarkan laman media Palestin ekoran liputan tanpa henti terhadap siri pencabulan hak asasi manusia oleh rejim pengganas Israel di seluruh negara termasuk Baitulmaqdis.

Menerusi kempen itu, aktivis mengecam dasar ‘double standard’ yang dilakukan Meta terhadap Palestin, katanya.

“Meta meningkatkan tindakan kerasnya terhadap naratif Palestin dengan alasan yang lemah, dan tidak menyekat hasutan Israel yang menyeru pembunuhan dan penahanan rakyat Palestin terutama selepas insiden di Baitulmaqdis, baru-baru ini,” katanya.

Kempen itu menuduh Meta mengabaikan naratif Palestin yang menjelaskan jenayah penjajahan Israel di Baitulmaqdis dengan menapis ketat kandungan pro-Palestin tanpa mengambil kira situasi sebenar.

“Sementara, banyak pula halaman Israel secara bebas dan terang-terangan menyeru agar rakyat Palestin dibunuh dan menghasut keganasan terhadap mereka,” kata pusat itu. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button