Berita Utama

‘Gred C untuk prestasi 100 hari menteri Kabinet’

Rakyat kecewa kerajaan gagal selesaikan isu harga barang, KWSP

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Pencapaian 100 hari untuk menteri-menteri Kabinet menjadi ‘penanda aras’ prestasi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sama ada ia berjaya atau sebaliknya.

Apatah lagi, prestasi itu turut menjadi penilaian bagi rakyat untuk mempercayai barisan Kabinet, apakah mampu untuk mengemudi pemerintahan negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka tahun hadapan.

Semalam, Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bahawa semua Menteri Kabinet telah mengemukakan ‘kad laporan’ kementerian masing-masing dalam tempoh 100 hari bersempena Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Bagaimanapun, ruangan komen Facebook Perdana Menteri itu dibanjiri ratusan ‘aduan’ daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang dan isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kebanyakan mereka menganggap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak layak diberikan markah tinggi kerana gagal bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

“Isu kenaikan harga ni, pencapaian menteri terbabit ok ke?,” kata pemilik akaun Najib Amran.

“Tak ada ke menteri yang kawal harga barang? Kalau ada, siapa menteri tu? Maaflah saya tak kenal sebab nampak macam tak wujud saja,” tulis Nora Syikin.

“Pencapaian Kabinet 100 hari. Semua barang berlumba naik. Apa tindakan kerajaan?,” kata Muhamad Asrul.

Bukan hanya isu harga barang, netizen turut meminta Ismail Sabri segera membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP secara ‘one-off’ sebanyak RM10,000.

“Boleh bagi gred C untuk pencapaian 100 hari,” kata Wan Azriman Wan Ahmad.

“Ramai rakyat tengah tunggu pengumuman KWSP daripada PM Ismail Sabri Yaakob. Moga dipercepatkan,” kata Amanra Aman.

“Orang nak i-Citra sampai sekarang senyap, bukan duit kerajaan pun. Makan sedap hidup mewah, rakyat aniaya tahan kos sara hidup,” kata Abu Muawiyah Din.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan menteri di 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio itu.

Perdana menteri itu berkata, prestasi menteri dan kementerian akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian atau agensi dan penilaian kempimpinan berdasarkan keberhasilan inisiatif. 

Ia juga termasuk penilaian persepsi awam terhadap ahli jemaah menteri dan kementerian atau agensi di bawah tanggungjawab mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button