Berita Utama

MyKad: Elak denda, 68 individu buat laporan palsu konon jadi mangsa samun

Selepas disiasat, kejadian yang dilapor hanyalah rekaan semata-mata

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Mendakwa menjadi mangsa samun dan ragut, itu antara alasan digunakan 68 individu yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan kad pengenalan diri (MyKad) sejak Januari hingga 21 November lepas.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata, kesemua individu berusia lingkungan 18 hingga 60 tahun itu sebenarnya menggunakan alasan itu bagi mengelakkan didenda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad disebabkan kecuaian sendiri.

“Kesahihan setiap laporan polis yang dibuat itu diketahui selepas pegawai penyiasat menyiasat lanjut berkaitan dengan apa yang dilaporkan oleh pengadu.

“Kejadian yang dilaporkan hanyalah rekaan semata-mata dan kehilangan MyKad berlaku adalah atas kecuaian sendiri,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul. 

Beh berkata, daripada 68 kertas siasatan yang dibuka, sebanyak 59 telah dituduh di mahkamah manakala sembilan lagi sedang disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Pihak polis memandang serius perkara ini kerana individu tidak bertanggungjawab membuat laporan palsu akan membazirkan masa, tenaga pegawai penyiasat dan wang kerajaan untuk menyiasat kes tidak wujud,” katanya.

Beliau sehubungan itu menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi bilik gerakan IPD Sentul di talian 03-40482206. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button