Uncategorized

Polis nafi dakwaan perjudian berleluasa sejak pertukaran ketua polis daerah

Sifatkan sebagai satu tohmahan tidak berasas.

KLANG, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Dakwaan bahawa premis berunsurkan perjudian mula beroperasi secara berleluasa di kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan berikutan pertukaran ketua polis daerahnya, disifatkan sebagai satu tohmahan tidak berasas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Cha Hoong Fong berkata, pihaknya mengesan kenyataan itu yang dibuat oleh pemilik akaun Facebook Aemierulrizaki Rambli sehingga tular sejak semalam dan menyangkal dakwaan tersebut yang dilihat boleh menjejaskan imej polis Klang Selatan khususnya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) amnya.

“Pemilik akaun itu telah dikenal pasti, kita hendak dia datang beri maklumat… Kalau dia ingkar, kita akan keluarkan perintah kehadirannya mengikut Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya pada sidang media, hari ini.

Cha berkata, Polis Klang Selatan sentiasa mengambil tindakan berterusan dalam usaha membanteras aktiviti perjudian dan pelacuran di daerah itu dan IPD Klang Selatan merupakan antara daerah yang mempunyai tangkapan dan pertuduhan tertinggi bagi kes perjudian dan pelacuran. 

“Sejak 1 Jan hingga 23 Nov 2021 sebanyak 528 kes tangkapan perjudian dilakukan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 512 kes tangkapan telah dituduh di mahkamah bersamaan 96.96 peratus. Bagi aktiviti pelacuran, sebanyak 49 kes tangkapan berjaya dilakukan dan daripada jumlah itu sebanyak 46 kes dituduh di mahkamah. 

“Sebanyak 11 serbuan dilakukan membabitkan kegiatan perjudian bagi tempoh seminggu bermula 18 Nov hingga 24 Nov manakala satu serbuan pelacuran berjaya dilaksanakan. Pada 24 Nov sahaja sebanyak lima kes tangkapan perjudian telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, bagi kes lima lelaki tempatan yang disyaki terlibat membakar kereta milik seorang pegawai kanan kastam di sebuah pusat mencuci kenderaan dekat Taman Pandamaran Permai, dekat sini 18 Nov lepas, Cha berkata, siasatan awal mendapati motif jenayah itu berhubung kait dengan penugasan kastam.

“Seorang daripada suspek telah dikenal pasti terlibat dengan satu kes di IPD Klang Utara dan kami telah serahkan suspek tersebut kepada IPD berkenaan bagi siasatan lanjut manakala suspek-suspek lain telah diberi jaminan polis sehingga kita akan rujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button