Berita Utama

Prestasi 100 hari menteri Kabinet belum cemerlang, masih banyak isu rakyat tak selesai

Tumpu isu penambahbaikan ekonomi, harga barang, masalah pengangguran

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Tempoh 100 hari untuk menteri-menteri Kabinet menunjukkan prestasi hampir pada kemuncak – sama ada benar-benar berjiwa rakyat atau sekadar lakonan untuk mengekalkan jawatan. 

Bagi penganalisis politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, prestasi 100 hari kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri setakat ini hanyalah sekadar memuaskan dan belum mencapai tahap cemerlang. 

Beliau melihat pencapaian menteri dan kerajaan hanyalah sekadar memuaskan, selagi mana isu besar membabitkan rakyat tidak diselesaikan.

“Tidak dinafikan secara amnya, kerajaan sekarang sudah menjalankan tugas dengan baik. Cuma belum lagi mencapai sehingga tahap cemerlang.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan banyak yang dibuat oleh kerajaan khususnya setelah proses pembentangan Bajet 2022 dengan perancangan oleh semua kementerian,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Atas dasar itu, beliau menyarankan kepimpinan Perdana Menteri mengambil peluang menangani isu-isu utama berkaitan rakyat, khususnya kenaikan harga barang jika mahu mencapai prestasi memuaskan dan tidak dilabel sebagai kerajaan gagal. 

Ini kerana, selain daripada kebajikan serta ekonomi rakyat, isu kenaikan harga barang utama seperti bahan mentah juga menjadi perhatian kebelakangan ini.

Sehubungan itu, menteri-menteri di bawah portfolio berkaitan digesa mengambil peluang sewajarnya dalam menangani isu berkenaan supaya prestasi 100 hari kerajaan boleh berada di tahap memuaskan.

Dr Nik Ahmad Kamal percaya kepimpinan Ismail Sabri sekarang banyak dibantu oleh keadaan politik yang stabil. 

“Tiada isu-isu besar dalam parti komponen kerajaan, malah selepas PRN Melaka juga keadaan kembali pada normal dan kini memberi tumpuan pula untuk PRN Sarawak.

“Diharap selepas selesai PRN ini kerajaan lebih berusaha memastikan isu seperti ekonomi, keselesaan dan kebajikan dapat ditumpukan sepenuhnya,” katanya.

Melihat suasana politik yang stabil, beliau menjangkakan lebih banyak perancangan kerajaan seperti dibentangkan dalam belanjawan dapat diberi perhatian untuk dilaksanakan sebaiknya.

“Sekarang adalah waktu yang sesuai untuk tumpuan pada penambahbaikan ekonomi, selesaikan masalah pengangguran dan kenaikan harga barang. Saya kira itu perlu diberi tumpuan sepenuhnya.

“Jadi, kita boleh nilai apa yang telah dirancangkan sejak dilantik sebagai kerajaan sama ada ia dicapai atau tidak,” katanya.

Ismail Sabri sebelum ini mengumumkan menteri di 26 kementerian dan lima agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri perlu membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama memegang portfolio itu.

Perdana menteri itu berkata, prestasi menteri dan kementerian akan dinilai berdasarkan tiga elemen utama iaitu penilaian prestasi kementerian atau agensi, penilaian kempimpinan berdasarkan keberhasilan inisiatif serta penilaian persepsi awam terhadap ahli jemaah menteri dan kementerian atau agensi di bawah tanggungjawab mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button