Berita Utama

MT UMNO mahu Parlimen dibubar dalam masa terdekat

PM akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Agong

KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1444H, Sabtu – Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketetapan itu adalah antara dicapai pada Mesyuarat MT UMNO malam ini, yang diadakan selepas perjumpaan lima pemimpin tertinggi UMNO atau dikenali ‘Top 5’ petang tadi.

“Berdasarkan keputusan (MT) ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir, tiga lagi pemimpin ‘Top 5’ yang merupakan Naib Presiden UMNO iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Ahmad berkata keputusan itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19 setelah kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Sehubungan itu, beliau berkata semua jentera parti di setiap peringkat diarah memuktamadkan segala persiapan dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU15.

“UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperoleh, maka sebuah kerajaan stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka, di samping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus lebih baik buat negara,” katanya.

Ahmad berkata MT UMNO turut menyambut baik keputusan Kabinet yang mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas atas dakwaan salah laku.

“Mesyuarat juga menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In the Wilderness’ untuk segera didedahkan kepada umum. Ini penting bagi memulihkan imej dan integriti institusi kehakiman serta kedaulatan undang undang negara,” katanya.

Beliau berkata UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih untuk segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum.

Dalam perkembangan lain, mesyuarat itu turut menerima peletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan bersetuju melantik Datuk Mohd Hafarizam Harun bagi mengisi jawatan itu.

“UMNO juga memecat Datuk Zaharin Mohd Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO,” katanya.

Mesyuarat MT juga mengambil maklum berkenaan pertemuan antara Ahmad Zahid dengan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, baru-baru ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button