Berita Utama

Selagi tak kawal penjualan arak, kes kemalangan maut babit pemandu mabuk terus berlaku

PBT patut ambil langkah pinda undang-undang bawah bidang kuasa mereka

BANGI, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Isu kemalangan membabitkan pemandu mabuk terus berlaku sehingga banyak nyawa mangsa tidak bersalah terkorban, meskipun pindaan terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sudah dibuat.

Pastinya, langkah terbaik menangani isu pemandu mabuk apabila kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bertegas menghadkan atau mengawal penjualan arak.

Menurut Ketua Belia Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Nor Aizat Rahimi, kawalan penjualan arak bukan hanya sekadar isu menjaga kedudukan agama Islam, tetapi juga keperluan dalam memastikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan sejahtera.

Ini kerana, beliau menegaskan bahawa pengambilan arak jelas mendatangkan banyak kesan buruk di dalam masyarakat.

“Bukan setakat kes kemalangan jalan raya, arak juga memberi kesan kepada kesihatan, sosial dan lain-lain aspek lagi.

“Sewajarnya tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Daerah Selama mengenakan kawalan terhadap penjualan arak merupakan satu langkah tepat dalam membendung suasana ini,” katanya kepada Ismaweb.net. 

Bahkan, Nor Aizat berkata, negara lain termasuk yang bukan Islam juga mengenakan syarat-syarat kawalan tertentu dalam penjualan arak bagi menjaga kemaslahatan masyarakat.

“Seharusnya PBT lain mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang di bawah bidang kuasa mereka.

“Ahli-ahli majlis yang merupakan lantikan politik ini juga perlulah didesak oleh parti-parti sedia ada dan juga masyarakat khususnya dalam menjayakan perkara ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button