Berita Utama

Tiada royalti Petronas kepada Kelantan, hanya salur wang ihsan

Kedudukan medan pengeluaran petroleum di luar perairan negeri Kelantan

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1443H, Khamis – Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan, sebaliknya akan membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

Ini berikutan, kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Memandangkan lokasi medan petroleum adalah berdekatan dengan perairan negeri Kelantan, Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk membuat pembayaran dalam bentuk wang ihsan.

“Ia bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang meminta kerajaan menyatakan status terkini tuntutan bayaran royalti tunai oleh kerajaan negeri Kelantan.

Awal November lalu, Exco Perumahan, kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin membangkitkan soal pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.

Beliau sebaliknya menggesa Putrajaya menghayati semangat perjanjian petroleum antara Kelantan dan kerajaan persekutuan pada 1975.

“Perjanjian ini bukan sama sekali untuk menghalang pembayaran kepada kerajaan negeri, dengan mengadakan syarat-syarat baru atau interpretasi baru seperti tiga batu nautika dari pesisir pantai,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button